Polis perlu siasat kes tukar agama anak di Perlis, kata Ramasamy


Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy hari ini menggesa pihak polis menyiasat dakwaan seorang ibu yang mendakwa tiga anaknya telah ditukar agama oleh jabatan agama di Perlis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Februari, 2022.

POLIS perlu siasat dakwaan seorang ibu yang pihak berkuasa agama Perlis telah “menculik dan menukar agama” tiga anaknya yang masih kecil, kata Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy hari ini.

“Jika anak-anak Loh Siew Hong diculik, masuk Islam dan diletakkan di bawah jagaan pihak berkuasa agama di Perlis, ini lebih kurang sama seperti menculik.

“Pihak berkuasa agama Islam Perlis secara terang-terangan melanggar undang-undang.

“Jika perkara ini betul-betul berlaku, polis perlu siasat dan ambil tindakan terhadap pihak berkuasa agama di Perlis,” kata Ramasamy dalam satu kenyataan.

Beliau merujuk kepada laporan polis yang dibuat oleh Loh, 34, di Kepala Batas, Pulau Pinang semalam yang mendakwa jabatan agama Perlis mengambil tiga anaknya tanpa kebenarannya.

Dalam laporannya beliau berkata ada menerima maklumat daripada seseorang yang tiga anaknya, dua anak perempuan kembar berusia 14 tahun dan anak lelaki berumur 10 tahun berada dalam jagaan pihak berkuasa agama di Perlis.

Beliau bimbang bekas suaminya mungkin telah mengislamkan anak-anak mereka sebelum meletakkan mereka di bawah jagaan pihak berkuasa agama Islam di Perlis.

Loh berkata perkara ini mungkin terjadi ketika beliau berada di rumah perlindungan akibat penderaan domestik.

Ramasamy berkata, walaupun tidak jelas sama ada kanak-kanak itu ditukar agama secara sepihak atau tidak, adalah tanggungjawab polis untuk memastikan tentang perkara tersebut.

“Mereka tidak boleh kemuka perkara itu kepada pihak berkuasa agama di Perlis.

“Pihak berkuasa agama di Perlis telah melangkaui peranan mereka dengan mengambil alih kehidupan kanak-kanak itu dan mungkin mereka yang telah menukar agama,” katanya.

Ramasamy berkata, polis terlebih sebelum ini memberitahu Loh supaya menghubungi pihak berkuasa agama di Perlis ketika beliau membuat laporan.

Adun Bagan Dalam Satees Muniandy dan Ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai David Marshel membantunya membuat laporan itu, kata Ramasamy.

“Bukankah ini satu kes pengabaian tugas oleh polis? Polis sepatutnya terima laporan itu untuk menentukan sama ada anak-anaknya dibawa lari secara tidak sah.

“Jika kanak-kanak itu diculik, polis perlu bertindak. Siapa yang polis lindungi dalam perkara ini?”

Ramasamy berkata kes Loh tidak boleh dibiarkan mengikut nasib malang yang dialami Indira Gandhi yang anak-anaknya juga memeluk Islam secara unilateral selepas bercerai.

Beliau ketika ini masih mencari anak bongsunya yang dibawa lari oleh bekas suaminya. – 13 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen