Suhaili nafi salah guna kuasa sebagai pengarah eksekutif Mara Corp


Alfian Z.M. Tahir

Pengarah Eksekutif Mara Corp Suhaili Abdul Rahman, mengakui beliau telah menggunakan kad kredit syarikat Mara Corp untuk membayar enam bilik pada 20 November, ketika Melaka mengadakan pilihan raya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Februari, 2022.

PENGARAH Eksekutif Mara Corp Suhaili Abdul Rahman menafikan dakwaan beliau menyalahgunakan kuasanya untuk membayar bil hotel ketika menjadi Pengerusi Bersatu Bahagian Labuan yang berada di Melaka untuk pilihan raya negeri tahun lepas.

Suhaili yang juga ahli majlis tertinggi Bersatu, mengakui beliau telah menggunakan kad kredit syarikat Mara Corp untuk membayar enam bilik pada 20 November, ketika Melaka mengadakan pilihan raya.

“Ya, saya menggunakan kad kredit untuk membayar bil hotel di Melaka dan apa salahnya saya menggunakan kad kredit itu.

“Saya adalah pengarah eksekutif Mara Corp sepenuh masa. Saya mempunyai kuasa untuk menggunakan kad kredit. Ia bukan satu jenayah kerana saya tidak berbohong atau menipu sesiapa,” kata Suhaili kepada The Malaysian Insight.

Suhaili berkata beliau tidak mempunyai masalah untuk Mara Corp memotong gajinya jika syarikat pelaburan Majlis Amanah Rakyat (Mara) itu ingin berbuat demikian.

“Mereka boleh potong gaji saya, saya tidak ada masalah. Isunya sekarang saya tidak langgar mana-mana undang-undang. Ia termaktub dalam “aku janji” saya semasa saya menjadi pengarah eksekutif.

“Kenapa ada orang tertentu. dalam Mara Corp membuat masalah besar dalam isu ini,” tanya Suhaili.

Awal minggu ini, seorang sumber di Mara Corp memberi tangkap layar sekeping resit kepada The Malaysian Insight, di mana Suhaili didakwa membayar enam bilik hotel pada hari pilihan raya.

Suhaili tinggal semalam di Hotel Hatten menggunakan kad kredit sama dimiliki Mara Corp yang digunakan untuk membayar makan malam Ramadan pada April tahun sama.

Semakan menunjukkan kedua-dua pembayaran dibuat menggunakan kad yang sama, berdasarkan empat nombor terakhirnya.

Lima daripada bilik hotel bernilai RM431 semalam dan sebuah bilik lagi bernilai RM831 semalam. Invois itu dikeluarkan pada keesokan harinya pada 21 November.

Sebelum ini, The Malaysian Insight melaporkan Suhaili didakwa membayar lebih RM5,000 untuk makan malam Ramadan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia pada 8 Februari lalu, Suhaili menyangkal dakwaan bahawa beliau telah menyalahgunakan kuasanya untuk membayar makan malam itu.

Beliau memberitahu akhbar harian Melayu itu bahawa bayaran tersebut dibuat atas kapasitinya sebagai pengarah eksekutif Mara Corp bagi tujuan meraikan anak yatim dan pelajar sekolah agama.

Beliau menafikan membayar untuk tujuan politik bagi pihak Bersatu.

Bagaimanapun, bayaran untuk bilik hotel di Melaka bercanggah dengan dakwaannya kepada Utusan Malaysia di mana beliau membayar bil hotel menggunakan kad kredit Mara Corp. – 13 Februari, 2022.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen