SPRM panggil 17 lagi individu untuk kes Mara Corp


Kalidevi Mogan Kumarappa

AGENSI antirasuah akan memanggil 17 lagi individu untuk dirakam keterangan termasuk lima pegawai Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang dikaitkan dengan dakwaan salah guna kuasa.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight, lima pegawai itu akan dipanggil untuk dirakam percakapan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya esok.

“Lima pegawai yang dikaitkan dengan salah guna itu akan dipanggil esok manakala empat ahli Lembaga Pengarah Mara Corp akan dipanggil kemudian.

“Bakinya adalah empat pegawai Mara, tiga pegawai bank dan seorang dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) ,” katanya.

Katanya, 14 saksi sudah dipanggil termasuk empat lagi ahli Lembaga Pengarah Mara Corp.

Ia termasuk tujuh orang dari pengurusan Mara Corp, dua pegawai Mara dan seorang dari sebuah syarikat setiausaha korporat dan syarikat perkhidmatan penyumberan luar korporat agensi itu.

Jurucakap SPRM itu mendedahkan agensi itu antara lain merampas kertas cadangan dan minit mesyuarat ahli lembaga pengarah serta exco dalam serbuan ke atas Mara Corp pada Isnin.

“Selain itu, dokumen lain ialah dokumen kewangan dan gaji serta dokumen berkaitan dokumen sumber manusia, dokumen berkaitan prosedur operasi standard (SOP) dan surat anugerah,” katanya.

Tiga pejabat agensi bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar itu diserbu SPRM dalam operasi Isnin.

Ia membawa kepada siasatan ke atas tujuh individu bagi membantu siasatan dakwaan salah laku dan integriti itu.

Lima pegawai kanan Mara yang dituduh terlibat salah laku korporat membuat laporan polis bagi menafikan tuduhan ke atas mereka dan juga bagi menyiasat kebocoran kes itu.

Kes tersebut antara lain didakwa melibatkan pemberian imbuhan dan kenaikan pangkat secara tidak wajar dan tidak disemak oleh pegawai pengurusan atasan.

Mereka turut membangkitkan kes dakwaan penyalahgunaan kad kredit korporat oleh pengurusan tinggi Mara Corp. – 10 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen