TUJUH aktivis pembangkang yang disabitkan kesalahan menggugat integriti nasional di Nicaragua dijatuhi hukuman penjara sehingga 13 tahun, kata sebuah kumpulan hak asasi manusia pada Khamis.
Mereka termasuk pemimpin pelajar Lesther Aleman, 24, yang menjadi terkenal selepas secara terbuka menggesa peletakan jawatan Presiden Daniel Ortega semasa dialog antara kerajaan dan aktivis yang terlibat dalam protes 2018, kata Pusat Hak Asasi Manusia Nicaragua.
Aleman dijatuhi hukuman penjara 13 tahun selepas perbicaraan yang diadakan secara tertutup di penjara tempat dia dan yang lain ditahan dan berakhir minggu lalu, katanya. Mahkamah tidak mengumumkan hukuman itu secara terbuka.
Seorang lagi aktivis yang dikenakan hukuman penjara 13 tahun ialah wartawan dan bekas calon presiden Miguel Mora, kata pusat hak asasi manusia itu.
Mereka adalah antara 46 ahli pembangkang, termasuk tujuh calon presiden, yang ditahan menjelang pilihan raya presiden pada November tahun lalu, sekali gus menjamin penggal keempat untuk Ortega berkuasa.
Ortega memerintah Nicaragua dari 1979 hingga 1990, selepas mengetuai tentera gerila yang menggulingkan diktator yang disokong AS Anastasio Somoza.
Kembali berkuasa pada 2007, beliau telah memenangi pilihan raya semula tiga kali, menjadi semakin diktator dan membatalkan had penggal presiden.
Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah telah mengenakan sekatan terhadap Nicaragua, negara termiskin di Amerika Tengah, berhubung pelanggaran hak asasi manusia dan berkaitan pilihan raya di bawah Ortega. – AFP, 11 Februari, 2022.
Komen