Presiden, pegawai Nicaragua dilarang masuk AS


Presiden Daniel Ortega didakwa melakukan kekerasan terhadap pihak lawan menjelang pilihan raya. – Gambar EPA, 17 November, 2021.

AMERIKA Syarikat (AS) mengisytiharkan hampir kesemua pegawai dari Nicaragua termasuk Presiden Daniel Ortega dan isterinya tidak dibenarkan memasuki AS sebagai tindak balas terhadap perlakuan “penindasan dan cacian” yang didakwa dilakukan Nicaragua, lapor Sputnik.

“Saya memutuskan demi kepentingan AS, sekatan dan menggantung kemasukan ke AS kepada imigran dan bukan imigran, pegawai kerajaan Nicaragua yang diketuai Presiden Daniel Ortega, termasuk pasangannya dan Naib Presiden Rosario Murillo dan lain-lain,” kata Presiden Biden dalam satu pengisytiharan.

Biden turut melanjutkan operasi Akta Darurat Kebangsaan terhadap Nicaragua, yang ditandatangani pada 2018, atas sebab yang sama seperti termaktub dalam pengisytiharan itu.

Nicaragua mengadakan pilihan raya presiden dan Parlimen pada 7 November, dengan Ortega memperoleh mandat untuk penggal keempat.

Sejak awal Jun, beberapa ahli politik dan aktivis pembangkang termasuk tujuh calon presiden ditahan di Nicaragua atas pelbagai tuduhan.

Pengkritik menuduh Ortega melakukan kekerasan terhadap pihak lawan menjelang pilihan raya. – Bernama, 17 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen