Penulisan perfileman di Malaysia


Daniyal Kadir

BAGAIMANAKAH agaknya untuk kita mengetahui maklumat umum perfileman Malaysia?

Misalnya sehingga kini berapakah jumlah filem Malaysia yang telah terhasil? Apakah definisi pensejarahan filem di Malaysia?

Susur galur dari era studio di Singapura memiliki percampuran dan perkongsian dengan negara jiran kerana filem-filem berkenaan terhasil di sana, walaupun kebanyakan tenaga kerja dan kreatif datang dari Malaysia.

Ini merupakan persoalan unik yang boleh kita terokai untuk memberikan lebih warna dalam menghidupkan api apresiasi terhadap tradisi sinema tempatan.

Ia bukan bersifat polemik, namun suatu penggalian fakta yang mesti dibentangkan bagi membolehkan tradisi sinema kita berdiri kukuh atas paksi-paksinya yang tersendiri.

Sehingga kini kefahaman mengenai tradisi sinema di Malaysia tidak dibaluti dengan elemen penerbitan bahan bercetak seperti makalah dan buku.

Jika ada pun ia dihasilkan, jumlahnya amat terhad malah untuk penerbitan berkala pula ia tidak konsisten, kemungkinan kesan daripada kemeruduman sambutan terhadap jualan bahan-bahan bercetak.

Namun ia bukan alasan kerana penghasilan bahan bercetak yang menjelaskan mengenai tradisi perfileman negara adalah suatu usaha konsisten yang perlu diteruskan.

Pembikin dan pengkritik filem di Malaysia juga tidak ramai yang menulis dengan jumlah mencukupi, kita hanya dapat membilang dengan jari mereka yang benar-benar bertekad dalam menulis bahan-bahan perfileman ini.

Dalam dunia kritikan filem kontemporari kita akan mengenang nama seperti Fadli Al-Akiti yang amat tekal menulis di blognya tontonfilem, malah kumpulan kritikannya itu pernah dibukukan dengan judul sama.

Seorang lagi nama yang bersungguh-sungguh menulis kritikan dan esei perfileman ialah Abror Rivai yang baru-baru ini hadir dengan buku kumpulan eseinya berjudul “Kerana Filem, Kau Dibilang Darling”.

Sudah tentu Abror dikenang dengan tulisan-tulisan baiknya yang pernah muncul di laman jalantelawi.com serta koran di majalah langka, Siasah.

Abror berkongsi kecekapan mata dan fikirannya mengamati sinema dan keluasan senarai tontonan Abror membantu mencelikkan kita untuk mengetahui firasat, nurani dan spiritual sebuah sinema.

Beberapa nama lain juga selalu muncul menghasilkan penulisan perfileman dengan kupasan esei spesifik terhadap sesuatu filem atau membincangkan persoalan tema dan genre.

Nama seperti Ridhwan Saidi, Azrin Fauzi dan Zaim Yusoff selalu dapat dibaca tulisan mereka tentang filem yang muncul di pelbagai medium termasuk akhbar Selangorkini, pelbagai majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka serta yang terbaru jurnal Svara.

Mengambil kira latar terdahulu, penulis perfileman di Malaysia tidak pernah putus, walaupun jumlahnya tidak ramai.

Kita mengenang kembali Ku Seman dan A. Wahab Hamzah. Sebelum itu pula kita mempunyai Mansor Puteh, Baharuddin Latif dan Rahman Shaari.

Malah kita juga mengingati bagaimana tokoh-tokoh perfileman era studio seperti Hamzah Hussein, Jamil Sulong dan Jins Shamsuddin juga menulis walaupun ia adalah ungkapan memori dan pengalaman mereka sepanjang penglibatan dalam dunia sinema, namun ia sedikit-sebanyak mempunyai keupayaan mencoret pengetahuan masyarakat terhadap apa yang dikisahkan dalam tradisi sinema Malaysia.

Pembikin filem bersemangat tinggi, Nasir Jani juga tidak ketinggalan menerbitkan kumpulan eseinya sendiri berjudul Pemberontak Filem yang dihimpunkan daripada kolum jenama Lantera yang muncul di akhbar Sinar Harian suatu ketika dahulu.

Catatan Nasir ini membantu kita memahami pergolakan dunia perfileman negara khususnya ketika era pasca studio.

Nasir banyak menjelaskan pertentangan budaya dan pemikiran di antara pembikin filem Melayu New Wave dan pembikin era studio.

Persoalan seperti ini membangkitkan tirai falsafah pembikin filem di negara dan ia turut diungkit Mansor Puteh dalam kumpulan eseinya yang terkenal, Kritikan Filem Mansor bin Puteh.

Tokoh animasi Malaysia yang sentiasa hadir dengan pandangan kuat terhadap keperluan pembinaan budaya sinema nasional, Hassan Muthalib juga merupakan seorang penulis perfileman yang harus selalu dikenang.

Bukunya Malaysian Cinema in a Bottle adalah ungkapan pensejarahan dan tradisi sinema negara yang berjaya membangkitkan keperluan perbincangan filem negara ke peringkat lebih tinggi.

Malah tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa buku ini menyediakan rujukan pensejarahan komprehensif untuk kita mengetahui asal dan usul perkembangan filem di Malaysia.

Mana mungkin juga kita lupa dengan pandangan tajam dan bernas daripada ahli akademik, Dr Norman Yusoff yang jelas menampilkan perbincangan sinema lebih menarik.

Kupasannya tentang kepelbagaian landasan ilmu dan disiplin filem serta melalui sulaman kefahaman tingginya terhadap falsafah sosiopolitik dan budaya penontonan meluas memberikan nikmat untuk masyarakat mendekatkan diri dengan perbincangan sinema yang berakar kukuh.

Di era kecanggihan teknologi dan di ketika dunia percetakan sedang berdepan himpitan dahsyat, muncul ramai pengkritik filem menggunakan medium baharu termasuk video di YouTube.

Maka muncul nama terkenal seperti Zhaf yang terkenal dengan ungkapan filem sampahnya.

Walaupun ruang perbicangan filem yang dibawa Zhaf ringkas dan tidak mencungkil erti besar persoalan sinema, namun pandangan dan ruang seperti ini wajar dirayakan bagi memastikan perbincangan tentang sinema tidak mati dan tertunduk layu.

Jika tidak bersetuju maka tampilkan pandangan sendiri untuk masyarakat mengetahui bahawa sinema kita mempunyai dimensi perbincangan cukup lebar dan sihat.

Baru-baru ini Amir Muhammad, antara pengasas sinema digital di Malaysia dan juga pemilik rumah penerbitan Kuman Pictures yang baru-baru ini merangkul anugerah filem terbaik di Festival Filem Malaysia sedang dalam rangka kerja bersama-sama kawan-kawannya untuk menerbitkan katalog filem Malaysia.

Ia sebuah himpunan maklumat asas dan ringkas filem-filem yang diterbitkan di Malaysia dari tahun 1960 hingga 2024.

Projek katalog dikatakan turut bakal meyelitkan himpunan esei-esei perfileman tanah air yang membincangkan kepelbagaian persoalan besar dan menarik sinema tempatan seperti genre, tema, isu spesifik seperti penapisan filem dan filem-filem signifikan yang difikirkan wajar diraikan.

Katalog ini bakat diterbitkan pada tahun 2025 dan kita mendoakan usaha mulia Amir dan kawan-kawan ini berjaya dan diberkati bagi memberikan tambahan penuh nilai terhadap usaha penghayatan tradisi sinema tempatan. – 6 Februari, 2022.

* Daniyal Kadir ialah penulis buku Membedah P.Ramlee, Ahli Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur dan Anggota Sidang Komuniti Filem Titiwangsa.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen