Mahkamah tolak rayuan kes saman Najib terhadap Ambank, bekas pegawainya


Ravin Palanisamy

Najib Razak gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan hari ini agar samannya terhadap Ambank, bekas pegawai Joanna Yu didengar semula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Januari, 2022.

BEKAS perdana menteri Najib Razak gagal dalam rayuannya agar samannya terhadap Ambank dan seorang bekas pegawainya Joanna Yu kerana mendedahkan butiran maklumat akaunnya kepada individu yang tidak dibenarkan didengar semula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh Yaacob Md Sam bersama Hadhariah Syed Ismail dan Ahmad Zaidi Ibrahim memutuskan sebulat suara menolak rayuan Najib selepas mendapati rayuan tersebut tidak mempunyai sebarang merit dan tiada kekhilafasan dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membolehkan keputusan sebelum ini dipinda.

“Tiada merit dalam rayuan dan kami menolaknya,” kata Yaacob.

Mahkamah juga memerintahkan ahli Parlimen Pekan itu membayar kos RM40,000 kepada bank dan RM35,000 lagi kepada Yu yang merupakan bekas pengurus perhubungan dengan bank itu yang dinamakan sebagai responden dalam rayuan berkenaan.

Pada 9 Disember 2019 Najib memfailkan writ saman terhadap Yu dan bank komersial itu kerana didakwa menerima arahan dan mendedahkan maklumat akaunnya kepada ahli perniagaan buruan Jho Teak Low atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

Najib membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 September 2020 yang membenarkan permohonan Yu dan bank untuk membatalkan saman terhadap mereka.

Bekas perdana menteri itu sebelum ini berkata AmBank dna Yu bertindak tanpa kebenaran dan mendedahkan penyata banknya, urus niaga penghantaran debit dan kredit serta baki dana untuk akaun bank tertentu kepada Low sebagai pihak ketiga.

Beliau menuduh defendan tidak berhubung dengannya untuk melaporkan tindakan Low ke atas akaun bank tersebut dan bank itu memudahkan pihak ketiga yang tidak dibenarkan membuat pemindahan wang.

Najib yang juga menteri kewangan dari 2009 hingga 2018 berhujah bahawa beliau dirahsiakan mengenai butiran penyata akaun banknya sendiri dan dokumen berkaitan lain oleh bank di bawah arahan Low. 

Beliau mendakwa Low dengan bantuan pihak ketiga lain yang tidak dibenarkan membuat 20 transaksi untuk menetapkan akaun berjumlah RM12 juta melalui beberapa kiriman wang tempatan dan asing serta akaun tersebut “diberi tanda amaran” oleh Bank Negara Malaysia.

Najib berkata defendan gagal melaporkan dan mendapat arahan terus daripadanya walaupun akaun sudah “diberi tanda amaran”.

Beliau juga berkata beliau hanya mengetahui perbuatan yang dilakukan oleh defenda semasa perbicaraan SRC International selepas pihak pendakwaan mendedahkan perbualan yang berlaku antara Yu dan pihak ketiga.

Pada 28 Julai 2020 Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali mensabitkan kesalahan dan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib atas kes jenayah SRC International. – 27 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen