Yayasan Bank Rakyat agih RM2.5 juta bantuan persekolahan


Megat Zulkarnain berkata, setiap pelajar menerima RM100 untuk memudahkan mereka membuat persiapan seperti membeli uniform, kasut atau beg sekolah. – Gambar Facebook, 17 Januari, 2022.

YAYASAN Bank Rakyat (YBR) memperuntukkan sebanyak RM2.5 juta bagi program bantuan persekolahan untuk diagihkan kepada 25,000 pelajar di seluruh negara tahun ini.

Pengerusinya, Megat Zulkarnain Omardin berkata buat permulaan, 150 pelajar di daerah Kuala Terengganu dipilih untuk menerima bantuan itu hari ini dengan peruntukan RM15,000.

“Bantuan ini inisiatif YBR bagi meringankan beban kewangan ibu bapa terutamanya golongan isi rumah berpendapatan rendah B40 membuat persiapan kembali ke sekolah untuk anak mereka.

“Setiap pelajar menerima RM100 untuk memudahkan mereka membuat persiapan seperti membeli uniform, kasut atau beg sekolah mengikut keperluan masing-masing,” katanya selepas mengagihkan bantuan itu di Kuala Terengganu.

Sejak dimulakan pada 2019, sejumlah 39,397 murid dan pelajar di seluruh negara menerima manfaat melalui bantuan persekolahan YBR dengan jumlah peruntukan sebanyak RM5.12 juta.

Megat Zulkarnain berkata, bantuan itu diagihkan secara berperingkat sebelum sesi persekolahan 2022-2023 bermula pada Mac depan.

“YBR juga masih menerima permohonan daripada pemimpin setempat kerana dalam situasi ekonomi tidak menentu akibat pandemik Covid-19 dan banjir yang melanda negara baru-baru ini, semakin ramai memerlukan bantuan persekolahan.

“Setakat ini, kami menerima 4,000 permohonan tambahan. YBR akan berbincang dalam mesyuarat lembaga pengarah bagaimana untuk membantu mereka dapat menjalani sesi persekolahan penggal baharu dengan selesa dan lancar,” katanya. – Bernama, 17 Januari, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen