Bank Rakyat umum dividen 13 peratus


Walaupun dilanda pandemik, Bank Rakyat masih berjaya mencatat untung sehingga dapat beri dividen dua angka, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Wan Junaidi Tuanku Jaafar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 April, 2021.

BANK Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) telah mengumumkan dividen 13 peratus untuk tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2020 berbanding dengan 14 peratus pada tahun kewangan 2019.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata pembayaran berjumlah RM373.36 juta itu akan dikreditkan ke dalam akaun 834,302 ahli berkuat kuasa hari ini.

“Walaupun menghadapi ketidaktentuan ekonomi pada tahun lepas akibat pandemik Covid-19, bank berjaya mencatat keuntungan sehingga dividen dua angka dapat diberikan.

“Bank Rakyat telah membayar dividen dua angka selama hampir 22 tahun kecuali pada 1998 apabila ia hanya membayar lapan peratus berikutan krisis kewangan,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan pembayaran dividen 2020 di Kuala Lumpur hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Bank Rakyat, Abdul Rani Lebai Jaafar berkata dana pemegang saham meningkat 6.2 peratus atau RM1.22 bilion kepada RM20.95 bilion berbanding RM19.73 bilion sebelumnya, berpunca daripada keuntungan bersih kumpulan yang dibawa pada tahun ini.

“Menjelang 31 Disember 2020, Nisbah Modal Wajaran Risiko dan Nisbah Modal Teras setelah dividen akhir yang dicadangkan tetap kukuh masing-masing pada 24.14 peratus serta 22.21 peratus.

“Nisbah modal ini jauh adalah di atas keperluan peraturan minimum dan majoriti industri, meletakkan kumpulan sebagai salah satu bank terkukuh daripada segi kedudukan modal,” katanya.

Beliau ketika mengulas mengenai prestasi kewangan tahun kewangan 2020 bank itu mengatakan ia mencatatkan prestasi yang mantap walaupun keuntungan bersih adalah lebih rendah sebanyak RM1.38 bilion berbanding RM1.65 bilion yang direkodkan semasa tahun sebelum ini.

Bank Rakyat terus menjadi bank koperasi yang paling menguntungkan dan juga kewangan Islam kedua terbesar di Malaysia disebabkan kemantapan asas-asasnya serta tumpuannya terhadap aktiviti teras walaupun negara dilanda ketidaktentuan akibat pandemik dan impak selepas moratorium.

“Bank itu menyaksikan aktiviti pembiayaan dan pelaburan yang kukuh dengan sedikit penurunan dalam  pendapatan pembiayaan kerana pemampatan margin di bawah rejim Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang rendah.

“Namun demikian, peruntukan yang lebih tinggi untuk pembiayaan tidak berprestasi (NPF), sejajar dengan trend industri yang menjejaskan keuntungan,“katanya.

Menurut Abdul Rani lagi, jumlah aset Bank Rakyat juga meningkat 1.8 peratus atau RM1.95 bilion kepada RM111.75 bilion daripada RM109.80 bilion, manakala, deposit termasuk akaun semasa dan akaun simpanan (CASA) serta simpanan berjangka berjumlah RM85.58 bilion berbanding RM83.83 bilion sebelumnya.

Melangkah ke hadapan, pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Syed Abdul Aziz Syed Hassan berkata kumpulan itu akan terus memberi tumpuan kepada bidang pertumbuhan baharu terutamanya daripada potensi yang belum dimanfaatkan dalam perniagaan serta operasinya bagi mewujudkan nilai jangka panjang kepada ahli-ahlinya.

Beliau berkata, bank tersebut sudah pun bertapak dengan baik dalam ruang pembiayaan runcit terutama pinjaman peribadi dan ingin mempelbagaikan portofolio lebih jauh ke dalam pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana serta segmen koperasi.

“Ini sejajar dengan pelan strategi BR25 Bank Rakyat yang kini dalam fasa pelaksanaan, yang mana beberapa program telah dilaksanakan pada tahun ini yang merangkumi penubuhan empat Pusat Perniagaan Koperasi dan PKS (SMEC) baharu di seluruh negara.

“Kami mahu membiayai sekitar RM7 bilion pembiayaan kepada PKS pada 2025 dan sekitar RM400 juta telah dikeluarkan hingga kini. Oleh itu melalui SMEC kami berharap dapat melayani keperluan PKS dengan lebih baik melalui penyediaan perkhidmatan yang lebih baik dan pantas,” katanya.

Syed Abdul Aziz berkata pertumbuhan pinjaman bank untuk tahun lepas adalah hampir 100 peratus berdasarkan kepada ukuran modalnya.

“Kami berharap dapat mengekalkan prestasi itu bagi tahun ini,” tambahnya. – Bernama, 12 April, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen