TONGA terputus hubungan dengan seluruh dunia secara maya pada Isnin selepas letupan gunung berapi besar yang melumpuhkan komunikasi dengan negara kepulauan Pasifik itu, dan pakar memberi amaran sambungan internet mungkin tidak dapat dipulihkan sepenuhnya selama beberapa minggu.
Sudah dua hari sejak gunung berapi Hunga Tonga-Hunga Haa’pai meletup, menyelubungi Tonga dengan abu, mencetuskan tsunami di Pasifik dan melepaskan gelombang kejutan yang membaluti seluruh Bumi.
Tetapi negara jiran dan agensi antarabangsa masih cuba mengenal pasti skala kerosakan, dengan pemimpin New Zealand Jacinda Ardern berkata pada Ahad ia dipercayai besar.
Wellington dan Canberra menghantar pesawat peninjau dalam usaha untuk mengetahui kerosakan dari udara pada Isnin, dengan kedua-duanya bersiap sedia dengan pesawat pengangkut tentera C-130 untuk menggugurkan bekalan kecemasan atau mendarat jika landasan boleh beroperasi.
Setakat yang diketahui ialah letupan gunung berapi pada Sabtu menyebabkan kerosakan serius ibu kota Nuku’alofa yang dilitupi abu dan memutuskan kabel komunikasi dasar laut—yang mungkin mengambil masa dua minggu untuk dipulihkan.
Letusan itu direkodkan di seluruh dunia dan kedengaran sejauh Alaska, mencetuskan tsunami yang membanjiri pantai Pasifik dari Jepun ke Amerika Syarikat.
“Kami tahu air sangat diperlukan segera,” kata Ardern kepada pemberita.
Beliau menambah New Zealand bergantung pada telefon satelit untuk berkomunikasi dengan negara kepulauan itu yang menempatkan kira-kira 100,000 orang.
Penerbangan peninjauan itu akan membantu menasihati kerajaan Tonga mengenai skala kerosakan gunung berapi dan tsunami serta membantu mengenal pasti keperluan bantuan, tambah Ardern.
Menteri pertahanan Wellington berkata beliau difahamkan negara pulau itu berjaya memulihkan kuasa di sebahagian besar bandar itu.
Komunikasi yang lumpuh menyebabkan warga Tonga di luar negara terdesak untuk mengentahui berita mengenai insan tersayang.
“Saya tidak boleh menghubungi keluarga saya, tiada komunikasi,” Filipo Motulalo, seorang wartawan dengan Pacific Media Network, memberitahu AFP.
“Rumah kami antara yang berhampiran dengan kawasan yang sudah dinaiki air. Jadi kami tidak tahu berapa banyak kerosakan yang terlibat.”
Motulalo berkata ramai warga Tonga di luar negara bimbang.
“Saya fikir perkara paling teruk ialah terputusanya bekalan tenaga dan hakikat kita tidak tahu apa-apa,” tambahnya. Ramai yang risau tentang saudara-mara warga emas menghadapi udara yang dipenuhi debu gunung berapi.
Internet Tonga mungkin kekal tidak berfungsi selama dua minggu, kata pengarah rangkaian Southern Cross Cable Network Dean Veverka kepada AFP.
“Kami mendapat maklumat yang tidak jelas tetapi nampaknya kabel terputus,” katanya.
“Ia boleh mengambil masa sehingga dua minggu untuk membaikinya. Kapal pemasangan kabel terdekat adalah di Pelabuhan Moresby,” tambahnya, merujuk kepada ibu negara Papua New Guinea, lebih 4,000km dari Tonga.
Southern Cross membantu Tonga Cable Limited yang memiliki kabel sepanjang 872km yang menghubungkan negara pulau itu dengan Fiji—dan dari sana ke seluruh dunia.
Awalnya dipercayai kerosakan itu disebabkan oleh kegagalan kuasa berikutan letusan kuat.
Tetapi ujian lanjut sebaik sahaja kuasa dipulihkan menunjukkan kerosakan pada kabel.
Tonga sebelum ini terpisah selama dua minggu pada 2019 apabila sauh kapal memotong kabel dan perkhidmatan satelit kecil yang dikendalikan secara setempat disediakan untuk membolehkan hubungan minimum dengan dunia luar. – AFP, 17 Januari, 2022.
Komen