Gegaran letusan gunung berapi Tonga dirasai di seluruh dunia


Tsunami melanda Tonga pada Sabtu susulan letusan gunung berapi kuat bawah laut. Ombak tsunami sampai ke Jepun malam tadi. – Gambar AFP, 16 Januari, 2022.

LETUSAN gunung berapi di dasar laut yang besar di Tonga begitu kuat sehingga ia direkodkan di seluruh dunia dan mencetuskan tsunami yang membanjiri pantai Pasifik dari Jepun ke Amerika Syarikat (AS), kata saintis pada Ahad.

Imej satelit yang dramatik menunjukkan letusan panjang gunung berapi Hunga Tonga-Hunga Ha’apai memuntahkan asap dan abu ke udara, dengan bunyi gemuruh kedengaran 10,000km jauhnya di Alaska.

Tinjauan Geologi AS merekodkan letusan pada Sabtu bersamaan dengan gempa bumi berukuran 5.8 pada kedalaman sifar.

Tetapi tahap penuh kerosakan di Tonga tidak jelas dengan talian komunikasi terputus.

Gelombang setinggi 1.2 meter melanda di pantai ibu negara Tonga Nuku’alofa dengan penduduk tempatan dilaporkan melarikan diri ke tempat lebih tinggi, meninggalkan rumah yang ditenggelami air, sebahagiannya mengalami kerosakan struktur, dan dengan batu kecil serta abu yang jatuh dari langit.

Saintis New Zealand Marco Brenna, pensyarah kanan di Otago University’s School of Geology, menyifatkan kesan letusan itu sebagai “agak ringan” tetapi berkata satu lagi letusan dengan kesan lebih besar tidak boleh diketepikan.

Ombak setinggi kira-kira 1.2 meter melanda di sepanjang pantai Pasifik Jepun dengan Agensi Meteorologi Jepun memberi amaran ombak setinggi 3 meter mungkin berlaku.

Di New Zealand, lebih 2,300km dari Tonga, 120 orang dipindahkan dari kawasan pantai utara dan beberapa bot musnah apabila ombak besar menghempas marina.

Penduduk Pantai Bondi yang popular di Australia di Sydney dipindahkan seketika sebagai langkah berjaga-jaga manakala di California, jalan di tepi pantai di Santa Cruz dinaiki air dan ditutup kepada lalu lintas.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan Alaska melaporkan Balai Cerap Gunung Berapi Alaska merekodkan letusan di Anchorage dan Fairbanks “6,000 batu dari gunung berapi.”

Stesen cuaca Fife di Scotland menulis di Twitter “sangat luar biasa untuk memikirkan tenaga yang boleh menghantar gelombang kejutan ke seluruh dunia” selepas letusan menghasilkan lonjakan dalam graf tekanan udaranya.

Hunga-Tonga-Hunga-Ha’apai, yang terletak kira-kira 65km di utara Nuku’alofa, mempunyai sejarah tidak stabil.

Beberapa tahun kebelakangan ini, ia mencecah paras laut semasa letusan 2009 manakala pada 2015 ia memuntahkan banyak batu besar dan abu ke udara sehingga membentuk pulau baharu dengan 2km panjang dan 1km lebar serta 100 meter tinggi. – AFP, 16 Januari, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen