Putrajaya patut pinda undang-undang kewarganegaraan, kata Yeoh


Elill Easwaran

Hannah Yeoh menyatakan ada banyak kes lain dengan keadaan yang menyedihkan dan dalam semua permohonan, setiap anak itu tidak bersalah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Januari, 2022.

MENTERI Dalam Negeri Hamzah Zainudin sepatutnya meminda undang-undang kewarganegaraan Malaysia bagi semua kanak-kanak tanpa kerakyatan dan tidak melihat kes secara ad hoc, kata Hannah Yeoh.

Dalam catatan Facebooknya, Ahli Parlimen Segambut itu berkata, menteri dalam negeri tidak seharusnya melihat kes itu satu persatu kerana setiap bulan adalah penting buat kanak-kanak ini.

“Ada banyak kes lain dengan keadaan yang menyedihkan. Dalam semua permohonan tanpa kerakyatan/kerakyatan, setiap anak itu tidak bersalah. Menteri dalam negeri perlu menyemak keseluruhan dasar, meminda undang-undang dan tidak melihat kes satu persatu kerana setiap bulan penting buat kanak-kanak ini - pendidikan, penjagaan kesihatan dan keselamatan!” tulisnya dalam catatan ringkas di Facebook hari ini.

Bekas timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat itu menulis komen sebagai maklum balas kepada respons Hamzah terhadap situasi seorang gadis tanpa kerakyatan yang diketengahkan oleh media.

Awal hari ini, Hamzah berkata, beliau mengarahkan pegawainya untuk meneliti kes Rohana Abdullah, seorang wanita tanpa kerakyatan yang dibesarkan oleh seorang bukan Islam selepas dia ditinggalkan ketika bayi.

Menurut Rohana, ibu kandungnya meninggalkannya semasa berusia dua bulan di sebuah tadika 22 tahun lalu dan pulang ke Indonesia.

Rohana diambil oleh guru tadika Chee Hoi Lan, 83, yang membesarkan anak angkatnya sebagai seorang Muslim.

“Saya terharu apabila dimaklumkan mengenai perkara ini minggu lalu.

“Saya mengarahkan pegawai saya untuk menyiasat kesahihan maklumat yang diberikan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan,” kata Hamzah dalam catatan ringkas Facebook hari ini.

Status kewarganegaraan Rohana menjadi persoalan kerana ibu kandungnya warga Indonesia dan bapanya warganegara Malaysia menghilangkan diri ketika dia masih kecil.

Rohana memohon kewarganegaraan sejak 2016 tetapi masih belum mendapat sebarang maklum balas.

Harian Metro melaporkan, dia terpaksa berhenti sekolah kerana tidak mempunyai dokumen. – 16 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen