Dr Mahathir keluar IJN petang ini


DR Mahathir Mohamad telah dibenarkan keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) hari ini selepas menjalani “prosedur yang berjaya”, kata hospital itu dalam satu kenyataan.

IJN berkata bekas perdana menteri itu keluar pukul 3.45 petang hari ini.

“Beliau akan teruskan proses pemulihan di rumah,” kata IJN.

Dr Mahathir telah menjalani prosedur perubatan pilihan di IJN pada 8 Januari selepas dimasukkan sehari sebelumnya.

Pihak hospital bagaimanapun tidak mendedahkan jenis prosedur.

Bulan lepas, ahli Parlimen Langkawi berusia 96 tahun itu dimasukkan ke hospital yang sama untuk “pemeriksaan perubatan penuh dan pemerhatian lanjut”.

Dr Mahathir mempunyai sejarah sakit jantung dan jangkitan dada.

Pada 2013 dan 2016, Dr Mahathir dimasukkan ke IJN untuk rawatan kerana jangkitan pada dada.

Dr Mahathir diketahui mempunyai rekod sakit jantung sejak 1989 ketika berumur 64 tahun.

Beliau kemudian terkena dua kali serangan jantung pada 2006 dan setahun kemudian menjalani pembedahan pintasan kuadrup di IJN. – 13 Januari, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen