Dr Mahathir keluar IJN


Dr Mahathir Mohamad pernah mengalami serangan jantung pada 1989 dan 2006. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Disember, 2021.

BEKAS perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dibenarkan keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) hari ini selepas menghabiskan masa lebih seminggu di sana, kata hospital pakar itu dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau dibenarkan keluar pada 11.30 pagi selepas menjalani beberapa siri pemeriksaan kesihatan, kata hospital.

“Dr Mahathir menjalani beberapa siri siasatan perubatan dan bersedia untuk keluar seperti yang dirancang,” kata hospital dalam kenyataan itu.

Ahli Parlimen Langkawi, berusia 96 tahun itu dimasukkan ke IJN pada 16 Disember bagi “pemeriksaan perubatan penuh dan pemerhatian lanjut”.

Dr Mahathir sebelum ini dimasukkan ke IJN pada Ogos 2016 dan November 2013 untuk rawatan jangkitan dada.

Beliau mengalami serangan jantung pertamanya pada 1989 ketika berusia 64 tahun, dan dua lagi serangan pada 2006. Setahun kemudian, beliau menjalani pembedahan pintasan empat kali ganda.

Semua rawatan jantung dan jangkitan dada berikutnya dirawat di IJN. – 23 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen