Mesyuarat j/k Parlimen tentang Azam Baki minggu depan


Ravin Palanisamy

Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri akan membincangkan isu pemilikan saham korporat oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki pada 19 Januari depan pukul 2 petang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Januari, 2022.

JAWATANKUASA Pilihan Khas Parlimen (PSC) bagi Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri akan bermesyuarat minggu depan untuk membincangkan kontroversi pemilikan saham korporat Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki.

Ini menurut pekeliling dihantar Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin Bacha kepada ahli PSC, yang kemudiannya dikongsi di Facebook oleh ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin yang juga ahli jawatankuasa tersebut.

“Mesyuarat ini bertujuan untuk membincangkan mengenai isu pemilikan saham syarikat oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM,” kata Nizam dalam pekeliling bertarikh 11 Januari itu.

Semua ahli PSC, termasuk pengerusinya ahli Parlimen PAS Kuala Krai Abdul Latiff Abdul Rahman dijemput menghadiri mesyuarat pada Rabu, 19 Januari, pukul 2 petang.

Selain Abdul Latiff dan Chan, ahli PSC lain termasuk Tajuddin Abdul Rahmah (BN-Pasir Salak), Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit), Anyi Ngau (GPS-Baram), Shaharizukirnain Abd Kadir (PAS-Setiu), Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka), Mohd Azis Jamman (Warisan-Sepanggar) dan William Leong (PH-Selayang).

Selain itu beberapa ahli Parlimen lain telah menyeru panel Parlimen bermesyuarat membincangkan dakwaan konflik kepentingan Azam Baki.

Enam ahli parlimen PKR juga mendesak supaya satu jawatankuasa pilihan Parlimen rentas parti ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan berkenaan.

Veteran DAP Lim Kit Siang juga lantang menggesa ketua SPRM itu muncul di hadapan PSC bagi Agensi.

Azam Baki perlu secara sukarela hadir berdepan dengan PSC bagi Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri atau letak jawatan, kata penasihat DAP itu.

Sementara itu, Azam Baki memberitahu akhbar berbahasa Melayu Sinar Harian yang beliau dia tidak akan letak jawatan kerana skandal itu.

“Saya dengan tegas dan tetap dengan pendirian teguh saya untuk tidak meletakkan jawatan kerana tidak ada keperluan untuk saya berundur.

“Hanya seorang individu yang paling layak dan boleh menamatkan tugas saya adalah Yang di-Pertuan Agong, selain daripada itu, saya tidak mahu ambil peduli dengan apa jua tuntutan yang mahu diperjuangkan oleh pihak-pihak tertentu,” katanya seperti dipetik Sinar Harian. – 12 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen