6 ahli Parlimen PKR mahu Parlimen tangani dakwaan terhadap Azam Baki


Fahmi Fadzil antara ahli Parlimen PKR yang menggesa campur tangan Parlimen dalam menangani dakwaan terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Disember, 2021.

PARLIMEN perlu campur tangan untuk menangani dakwaan konflik kepentingan membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki memandangkan panel penyelia SPRM enggan berbuat demikian, kata enam ahli Parlimen PKR hari ini.

Mereka berkata satu jawatankuasa pilihan Parlimen rentas parti mesti dibentuk untuk menyiasat dakwaan Azam memiliki saham dalam sebuah syarikat pada 2015 dan 2016.

“Apabila panel berkanun yang ditubuhkan di bawah undang-undang gagal melaksanakan tanggungjawab mereka, bagaimana kita hendak menyelesaikan masalah itu terutama jika kerajaan tidak bertindak menggantikan ahli panel pengawasan yang tidak berkesan atau berkompromi.

“Kami berpandangan Parlimen perlu campur tangan.

“Kami mencadangkan pasukan penyiasat bebas berbilang parti yang menggunakan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dimulakan serta merta untuk menyiasat dakwaan itu,” kata enam ahli Parlimen berkenaan.

Mereka ialah Ahli Parlimen Sungai Buloh R. Sivarasa, Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah, Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin, Ahli Parlimen Pasir Gudang Hasan Karim, Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil and Ahli Parlimen Ledang Syed Ibrahim Syed Noh. 

Siasatan mesti mendapatkan pendedahan penuh aset yang dipegang oleh Azam dan keluarganya serta aset yang dipegang oleh mana-mana semasa atau bekas pesuruhjaya lain untuk memastikan integriti badan antirasuah itu, tambah ahli Parlimen berkenaan.

Selain itu SPRM juga perlu menyarankan Azam untuk bercuti bagi memudahkan siasatan.

Tindakan segera lain harus diambil termasuk memulihkan nama baik SPRM jika dakwaan itu tidak benar dan undang-undang, dasar, SOP serta prosedur semak dan imbang bagi agensi antirasuah itu.

Bekas ahli panel SPRM Edmund Terence Gomez menyalahkan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) dan Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) agensi itu kerana enggan bertindak atas dakwaan terhadap Azam.

Gomez meletak jawatan pada Isnin sebagai tanda protes terhadap kegagalan Panel berkenaan bertindak terhadap isu tersebut.

Peletakan jawatannya dibuat selepas sebulan beliau menulis e-mel kepada Pengerusi LPPR Abu Zahar Ujang dan Pengerusi PPPR Borhan Dollah.

Enam ahli Parlimen itu berkata polis juga harus memulakan siasatan terhadap Azam.

“Jika panel pengawasan SPRM terus enggan menyiasat dan memandangkan SPRM sendiri tidak boleh menyiasat ketuanya sendiri, polis harus memulakan siasatan mereka sendiri berdasarkan semua maklumat yang ada dalam domain awam,” kata mereka. 

Sivarasa membangkitkan dakwaan itu di Parlimen pada 14 Disember dan menggesa pihak berkuasa menyiasat. – 29 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen