Azam perlu berdepan jawatankuasa pilihan khas atau letak jawatan, kata Kit Siang


Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang berkata Azam Baki perlu hadir berdepan dengan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) bagi Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri atau meletakkan jawatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Januari, 2021.

AZAM Baki perlu secara sukarela hadir berdepan dengan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) bagi Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri atau meletakkan jawatan, kata Lim Kit Siang.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menunjukkan contoh yang baik kepada semua penjawat awam dengan berbuat demikian.

Bagaimanapun Lim berkata Azam dan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob terus berdiam diri mengenai dakwaan terhadap ketua SPRM itu.

“Sikap berdiam diri Perdana Menteri Ismail Sabri berhubung dakwaan terhadap Azam amat membimbangkan.

“Adakah perdana menteri akan membangkitkan isu itu pada mesyuarat Kabinet akan datang?

“Adakah pada mesyuarat Kabinet Rabu ini? Jika tidak mengapa mesyuarat Kabinet tidak dijadualkan pada 5 Januari kerana perdana menteri sudah memanggil semua menteri yang bercuti ke luar negara untuk pulang disebabkan banjir di negara ini?,” soalnya dalam satu kenyataan.

Kedudukan Azam menjadi tumpuan selepas ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM Edmund Terence Gomez meletak jawatan daripada panel berkenaan.

Peletakan jawatannya adalah protes terhadap Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah SPRM Abu Zahar Ujang dan Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah Borhan Dolah yang tidak mengambil tindakan terhadap dakwaan bahawa Azam memiliki saham korporat dalam sebuah syarikat pada 2015 dan 2016 serta tidak mengisytiharkannya.

Azam didakwa memiliki 1.93 juta saham dalam Gets Global Bhd pada 30 April 2015 dan 1.02 juta saham pada 31 Mac 2016. Adik lelakinya didakwa memiliki 3.72 juta saham dalam syarikat yang sama. 

Adiknya juga dikatakan memiliki 3.72 juta saham dalam syarikat yang sama.

Tambahan pula Azam dikatakan memiliki 2.15 juta saham dalam senarai awam Excel Force MSC Bhd.

Semalam Gomez berkata perdana menteri perlu membuat kenyataan umum dengan segera kerana sikap berdiam diri akan menghakis kepercayaan rakyat terhadap agensi.

Beliau berkata Ismail juga perlu membentuk jawatankuasa bebas untuk meneliti dakwaan terhadap ketua pesuruhjaya itu.

“Perdana menteri mesti bertindak balas terhadap isu ini. Kenapa dia berdiam diri? Adakah media mendekatinya untuk mendapatkan penjelasan? Jika kita mahu isu ini memberi kesan, kita perlu memperbaharui institusi dan sistem tadbiru urus,” katanya kepada The Malaysian Insight dalam temu bual eksklusif. – 3 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen