Penganggur dipenjara 4 tahun rompak juruwang di kedai serbaneka


PADAH merompak seorang juruwang wanita bersenjatakan sebilah pisau di sebuah kedai serbaneka, seorang penganggur dipenjara empat tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Hakim Siti Aminah Ghazali menjatuhkan hukuman itu ke atas Cheong Seong Yoon, 55, selepas dia mengekalkan pengakuan bersalah pada tarikh jatuh hukum hari ini dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 14 Disember lepas.

Cheong didakwa merompak Roziati Husni, 57, dengan melarikan 177 kotak rokok dan wang tunai RM147 di sebuah kedai serbaneka di Jalan Sarjana Taman Connaught, Cheras pada 8.59 pagi, 20 November lepas, mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar memohon hukuman setimpal manakala Cheong yang tidak diwakili peguam merayu hukuman dilaksanakan dari tarikh tangkap. 

Berdasarkan fakta kes, tertuduh merompak mangsa di kedai tersebut dengan sebilah pisau sebelum menjual 20 daripada jumlah kotak rokok yang dicuri kepada seorang lelaki warga Bangladesh. – Bernama, 5 Januari, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen