ANGKA kematian daripada dua serangan berasingan oleh kumpulan lelaki bersenjata di dua bandar di barat laut Nigeria minggu ini meningkat kepada 43, kata pihak berkuasa tempatan.
Kumpulan penyamun berkenaan mula mengganas di barat laut dan tengah Nigeria sejak beberapa tahun lalu.
Mereka menyerang dan merompak perkampungan namun serangan semakin memuncak sejak beberapa bulan lalu dengan penculikan besar-besaran.
Sekumpulan lelaki bersenjata menyerang bandar Sokoto Illela dan Goronyo Isnin lalu.
Laporan awal menyatakan 15 penduduk terbunuh dalam serangan berkenaan.
Pejabat gabenor negeri Sokoto Aminu Waziri Tambuwal dalam satu kenyataan berkata angka kematian itu meningkat kepada 43 orang.
“Ini bukan kejadian kecil. Ia menjengkelkan,” kata gabenor itu ketika mengadakan lawatan ke Illela.
Sejak September, tentera Nigeria melakukan serangan ke atas kem penyamun di negeri jiran Zamfara.
Untuk mengganggu komunikasi antara ahli kumpulan, perkhidmatan telekomunikasi telah ditutup di Zamfara dan sebahagian daripada negeri Kaduna, Katsina dan Sokoto.
Kumpulan penyamun yang melarikan diri dari operasi ketenteraan di Zamfara telah mendirikan kem berhampiran sempadan dengan Niger, termasuk di Sokoto, yang mana mereka melancarkan serangan ke atas kampung dan bandar tempatan. – AFP, 18 November, 2021.
Komen