SEORANG pembantu kedai makan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuantan hari ini atas pertuduhan merompak seorang wanita warga emas sehingga menyebabkan kerugian RM300,000 minggu lepas.
Muhammad Zackrim Musa, 23, yang beralamat di Pandan Indah di Kuantan, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar.
Dia didakwa melarikan barangan milik Wok Ngah, 88, termasuk 24 utas gelang, lima utas rantai dan dua bentuk cincin serta wang tunai RM42,105 di belakang Maybank Taman Mas di Kuantan pada 1 tengah hari 9 Disember lepas mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 14 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Siti Aiysha Na’ilah Harizan menawarkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin namun peguam Mohd Shuhairil Ziqrul Sapi merayu jumlah itu dikurangkan.
“Pendapatan bulanan tertuduh sekitar RM1,300 sebulan dan digunakan untuk menanggung ibu serta dua adik,” katanya.
Mohammed Mokhzani membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Januari tahun depan sebagai sebutan semula kes. – Bernama, 16 Disember, 2021.
Komen