Filem Malaysia masuk Oscar apa untungnya?


Daniyal Kadir

 BADAN pentadbiran industri filem Malaysia, Finas pernah mengumumkan mengenai langkah-langkah strategik yang akan diambil bagi mencapai sasaran filem tempatan dapat menempatkan diri dalam senarai pendek bagi kategori Filem Antarabangsa Terbaik di Anugerah Akademi atau apa yang selalu kita sebutkan sebagai Oscar.

Cita-cita ini hadir setelah melihat bagaimana Republik Korea melalui Parasite berjaya merangkul kejayaan besar-besaran menumbangkan filem Hollywood bikin pengarah hebat seperti Tarantino dan Scorsese.

Seperti sebuah impian tipikal, melihat nama negara dijulang di Hollywood adalah seperti melihat pasukan bola sepak negara sendiri memenangi Piala Dunia.

Kemenangan Bong-Joon Ho dan pasukannya telah menerbitkan rasa yakin untuk Malaysia juga mengimpikan perkara sama, mengorak langkah lebih besar untuk membawakan filem-filem negara ke perhatian dunia.

Cita-cita ini tidaklah salah, walaupun terlalu memandang berat ke arah Hollywood bukanlah aspirasi sebenar sinema.

Namun tidak mengapa kerana sistem pengiktirafan perfileman melalui Oscar dilihat sebagai antara cabang pengiktirafan yang penting walaupun festival filem seperti Cannes, Berlin, Toronto, Venice, Locarno, malah Busan juga sebenarnya turut memiliki kepentingan sejagat dan lebih meraikan sinema dunia.

Namun seperti disebutkan tadi, tidak mengapa, cita-cita berkenaan tiada salahnya.

Tetapi ada satu hal yang paling besar perlu diperhalusi untuk kita melihat adakah Jalan ke Oscar ini adalah jalan benar untuk matlamat sinema negara atau ada banyak simpang-simpang menyesatkan yang perlu ditempuhi dahulu.

Sepanjang Oscar berlangsung, Malaysia bukanlah negara aktif yang menghantar penyertaan.

Pertama kali kita menghantar penyertaan ialah pada tahun 2004 melalui filem Puteri Gunung Ledang. Kemudian terdapat lompong besar yang langsung tidak diisi.

Hanya pada 2012, sekali lagi Malaysia menghantar penyertaan dan kali ini menerusi Bunohan, filem yang sempat bersaing di beberapa festival besar dunia termasuk di Toronto.

Setelah Bunohan, selang tiga tahun selepas itu, Malaysia menghantar Lelaki Harapan Dunia yang sebelum itu telah mengelilingi beberapa festival utama dunia seperti Locarno, Toronto dan Busan.

Pada 2016, kita mencalonkan Redha; 2019 sebuah filem dokumentari membodek telah dihantar sebagai calon iaitu M for Malaysia.

Pada 2020 Malaysia menghantar filem Roh yang baru-baru ini memenangi filem terbaik di Festival Filem Malaysia ke-31.

Penyertaan Oscar Malaysia yang terkini ialah menerusi Prebet Sapu arahan pengarah baharu, Muzzamer Rahman.

Filem ini juga sempat beraksi di beberapa festival dunia termasuk Far East Film Festival di Udine, Itali.

Berdasarkan senario yang dibentangkan ini, penyertaan Malaysia ke Oscar tidak konsisten memandangkan terdapat tahun-tahun yang memiliki kelompongan nyata.

Sebab kita tidak menghantar filem setiap tahun mungkin terdorong atas beberapa faktor termasuk kekurangan filem berkualiti, tidak menepati syarat ditetapkan, tidak mempunyai kapasiti kewangan kukuh khususnya berkaitan aspek lobi dan promosi di Amerika Syarikat serta kegagalan menarik minat pengedar untuk menayangkan filem-filem tempatan di negara Uncle Sam itu.

Kesukaran-kesukaran ini kemungkinan besar menjadi faktor yang membuatkan Finas melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia telah menggariskan keperluan pelan yang dijenamakan sebagai Road to Oscar.

Pelan ini digambarkan sebagai cita-cita utama, namun begitu, walaupun mula disebutkan sekitar Jun 2020, tetapi sehingga sekarang pelan berkenaan masih belum dijelmakan.

Kita semua tidak tahu status pelan yang dikatakan menjadi strategi penting untuk membawa dunia perfileman negara ke aras berbeza. Adakah pertukaran tampuk kepimpinan telah menyebabkan pelan ini tergendala atau kini Oscar bukan lagi keutamaan kepada Finas?

Persoalan-persoalan ini mungkin sudah ada jawapannya, namun jawapan itu belum bersedia lagi untuk muncul. Mungkin apabila drafnya sudah siap kelak kita akan dapat melihat visi yang lebih baik.

Kemungkinan pelan untuk Oscar ini bukan semata-mata untuk anugerah itu sahaja, tetapi ia diharapkan dapat membantu mengembangkan potensi sinema tanah air dari sudut pembikin, penonton dan industri secara keseluruhannya.

Nasib filem ke Oscar
Terlanjur menyentuh mengenai pelan Road to Oscars ini, ingin juga kita bertanya tentang apakah nasib sesebuah filem yang telah dipilih untuk mewakili Malaysia ke Oscar?

Mengambil contoh filem seperti Prebet Sapu, filem ini tidak mendapat sambutan menggalakkan di panggung wayang, kemungkinan terdapat satu faktor dalaman dan satu faktor luaran.

Faktor dalaman kemungkinan besar kerana filem ini terpaksa bersaing dengan filem Spiderman yang terkini.

Faktor kedua pula ialah bencana bah yang tiba-tiba melanda yang menjejaskan semangat untuk penonton ke panggung wayang.

Namun terdapat kisah kurang enak kepada filem ini apabila ada panggung wayang yang sengaja membatalkan tayangan kerana tidak mendapat sambutan dan jumlah tayangan yang sedikit.

Walaupun jumlah tayangan itu menepati syarat Skim Wajib Tayang, namun apakah ertinya gelaran mewakili negara ke Oscar apabila tidak mendapat keistimewaan tayangan yang berbeza daripada filem lain.

Malah strategi pemasaran filem ini juga tidak cukup mencengkam dan membuatkannya tidak mendapat sambutan secara menyeluruh walaupun menampilkan kualiti yang wajar dipuji.

Prebet Sapu bakal menamatkan tayangannya kemungkinan besar sebelum minggu pertama Januari ini berakhir setelah mula ditayangkan pada 16 Disember 2021.

Suatu perasaan sedih muncul mengenangkan sebuah filem yang dikatakan mewakili negara ke Oscar, tetapi berdepan dengan kekangan besar di negara sendiri.

Satu refleksi yang jelas wajar dilaksanakan untuk menilai kembali insentif dan kepelbagaian keistimewaan yang boleh diberikan kepada filem yang mewakili negara sendiri ke festival luar.

Sistem panggung wayang yang menekan penerbit-penerbit kecil juga wajar diperhalusi.

Skim Wajib Tayang wajar mendatangkan keseimbangan dan bukan keuntungan semata-mata berpihak kepada panggung wayang.

Kita tidak mahu filem-filem yang mengharumkan nama negara di luar, dipandang sepi di dalam negara dan akhirnya terbunuh di panggung sendiri. – 2 Januari, 2022.

* Daniyal Kadir ialah penulis buku Membedah P.Ramlee, Ahli Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur dan Anggota Sidang Komuniti Filem Titiwangsa.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen