Masa depan ahli KWSP kelam jika tidak dipertahan


PERDANA Menteri Ismail Sabri minggu ini mengumumkan pelbagai bantuan mangsa banjir bernilai lebih RM1.4 bilion merangkumi pelbagai inisiatif bantuan tunai langsung, rebat pembelian barangan elektrik, pembaikan kenderaan dan lain-lain lagi. 

Ini pakej bantuan banjir yang cukup tinggi (mungkin tertinggi dalam sejarah bantuan bencana dalam negara). 

Namun, memang lumrah dalam krisis sebegini pasti ada unsur-unsur politik mengambil kesempatan untuk menangguk di air keruh.

Yang menggusarkan adalah desakan beberapa tokoh politik supaya kerajaan mengizinkan lagi pengeluaran dari simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja Malaysia (KWSP) atas dasar membantu mangsa banjir. 

Apakah tujuan sebenar di sebalik desakan ini?

Alasan untuk membantu mangsa banjir bukanlah hujah yang kukuh mengizinkan pengeluaran simpanan KWSP, lebih-lebih lagi dengan adanya pakej bantuan banjir yang begitu besar baru diumumkan kerajaan.

Malah pada 2014, sewaktu banjir besar melanda Pantai Timur sehingga 300,000 isi rumah terjejas, pentadbiran kerajaan di bawah perdana menteri waktu itu tidak pula membenarkan pengeluaran dari KWSP.  

Justeru, amat menghairankan kenapa hari ini ada ahli politik, terutamanya Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki dan bekas perdana menteri Najib Razak sendiri yang mendesak lebih banyak lagi pengeluaran KWSP dibuat atas alasan banjir.

Menurut angka yang diumumkan KWSP, sepanjang program i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra, seseorang ahli KWSP (bergantung kepada jumlah simpanan) boleh membuat pengeluaran sehingga RM71,000. 

Ini bukanlah angka yang kecil yang diizinkan keluar oleh KWSP. Maka, tidak hairanlah sejak tahun lalu, sebanyak RM101 bilion telah disalurkan keluar dari KWSP melalui ketiga-tiga program tersebut.

Kesan dari jumlah pengeluaran RM101 billion ini adalah amat membimbangkan – 6.1 juta ahli KWSP kini mempunyai baki simpanan kurang daripada RM10,000 dalam akaun mereka. 

Lebih menyedihkan lagi adalah daripada jumlah itu, 3.6 juta ahli mempunyai baki kurang RM1,000 dalam akaun mereka. Kebanyakan mereka adalah ahli keturunan Bumiputera.

Mungkin disebabkan ketandusan idea atau sekadar meraih kepopularan politik, namun desakan beberapa tokoh ini bukan sahaja tidak memberi penyelesaian mampan, malah mendorong kepada wujudnya satu generasi warga emas dan pesara yang kekeringan simpanan di hari tua mereka.

Ditubuhkan pada 1951, KWSP merupakan antara tabung simpanan persaraan tertua di dunia, dan merupakan yang ke-4 terbesar di Asia dan yang ke-12 terbesar di dunia. 

Selama ini, KWSP telah berjaya memastikan generasi pesara dan warga emas kita terjamin kesejahteraan di hari tua mereka. 

Ini adalah institusi istimewa yang bukan sahaja menjadi kebanggaan rakyat Malaysia, malah dikagumi oleh masyarakat antarabangsa, sama seperti kejayaan institusi kita yang lain seperti Tabung Haji dan PNB.

Dalam sejarah pembangunan negara yang sudah melalui pelbagai krisis sebelum ini, KWSP tetap menjadi tunggak kesejahteraan rakyat. Bukan saja ia tabung kelangsungan hidup berjuta-juta warga emas, tetapi juga memainkan peranan penting dalam pasaran saham dan bon tempatan sekaligus menyumbang kepada kestabilan ekonomi.

Adalah menyedihkan melihat hari ini keteguhan simpanan KWSP ini dipertahankan oleh hanya segelintir tokoh dan wakil kesatuan pekerja, sedangkan isu ini membabitkan masa depan berjuta-juta rakyat. Patutnya lebih banyak suara kedengaran mempertahankannya.

Jika simpanan KWSP tidak dipertahankan, isu ini berisiko suatu hari menjadi beban kepada generasi muda: jika warga emas kita tidak lagi mampu menyara keperluan dan kos kesihatan, pastinya kerajaan dan rakyat sebagai pembayar cukai di waktu itu perlu menanggung tanggungjawab ini.  

Ramai ahli politik tahu apa masa depan kelam yang menunggu bakal pesara dan generasi tua jika pengeluaran awal dibenarkan berterusan. Di masa yang sama, kelompok yang menuntut pengeluaran KWSP terus menerus mendesak.

Maka, di manakah suara ahli Parlimen sekian ramai? Di manakah suara pihak pembangkang yang dahulu seringkali menentang penyalahgunaan dan eksploitasi dana KWSP? 

Kenapa kali ini, mereka memilih untuk hanya berdiam? – 1 Januari, 2022.     

*Ismael Yunus, pembaca The Malaysian Insight, Shah Alam.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen