Agihan makanan tak sama rata punca penduduk di pangsapuri Sri Muda lapar


Elill Easwaran

Beberapa blok Pangsapuri Valencia yang terletak di bahagian belakang dan tidak mendapat bekalan makanan. – Gambar The Malaysian Insight, 29 Disember, 2021.

NIAT yang baik bukanlah segala-galanya; penyelarasan yang betul juga penting. Dan kerana kekurangan itu beberapa penduduk di Pangsapuri Valencia di Taman Sri Muda, Shah Alam kelaparan sejak dua hari lalu.

Makanan yang dibawa oleh sukarelawan kepada penduduk pangsapuri yang dilanda banjir tidak mencukupi dan kehabisan makanan apabila ia hanya sampai kepada mereka yang tinggal di blok hadapan. Ini kerana sukarelawan hanya menghantar bekalan di pintu masuk pangsapuri.

Mereka yang tinggal di blok belakang terlepas dan tidak cukup makanan, kata penduduk terjejas kepada The Malaysian Insight.

Azman Yusof, 51, berkata tiada penyelarasan yang betul untuk memaklumkan kepada semua penduduk apabila bekalan baru tiba.

“Apabila kereta tiba di hadapan untuk mengagihkan bantuan, penduduk di bahagian hadapan dapat mendapatkan bekalan dengan cepat.

“Jika bernasib baik, mereka yang tinggal di blok yang lebih jauh hanya mendapat tiga paket beras atau air. Dan ini untuk keseluruhan lima blok yang terletak di bahagian belakang,” katanya yang bekerja sebagai mekanik.

Muhammad Sharul, 33, turut berdepan pengalaman sama dan berkata keluarganya tidak mendapat makanan dalam tempoh dua hari.

“Kereta saya masih tidak berfungsi kerana banjir, barang-barang saya kebanyakannya juga hilang. Ini minggu yang sukar untuk saya dan keluarga.

“Kami berharap akan ada kumpulan yang boleh memperuntukkan makanan untuk kami yang terletak di blok belakang,” katanya yang mempunyai empat ahli keluarga.

Penduduk Pangsapuri Valencia melihat sama ada terdapat bekalan makanan di dalam khemah. – Gambar The Malaysian Insight, 29 Disember, 2021.

Pemandu lori Khairil Fitri, 47, berkata dia terlalu fokus terhadap pembersihan pasca banjir sehingga keluarganya tidak mempunyai masa untuk memikirkan makanan yang betul.

“Kami telah membersihkan tempat kami tanpa henti sejak beberapa hari lalu jadi adalah bagus jika kami boleh mendapatkan nutrisi yang betul.

“Saya boleh makan apa sahaja yang tinggal daripada baki makanan tetapi saya lebih risaukan anak-anak saya,” katanya yang mempunyai dua anak.

Sukarelawan Yap Chun Wei yang membawa bekalan makanan ke Pangsapuri Valencia sejak seminggu lalu berkata kumpulan mereka hanya dibenarkan meninggalkan bantuan makanan di hadapan premis.

Remaja berusia 19 tahun itu mengakui situasi itu menyebabkan penduduk yang tinggal di blok di belakang terabai.

“Seorang penduduk wanita mengalami bibir kering kerana hampir 24 jam tidak mendapat bekalan air.

“Tidak ramai sukarelawan yang boleh masuk ke blok belakang dan saya tidak fikir mereka menyedari keadaan di sana,” katanya.

Yap berkata Pangsapuri Valencia mempunyai kira-kira 15 blok lima tingkat setiap satu.

“Blok yang tidak mendapat bekalan makanan ialah lima hingga enam blok di bahagian belakang yang boleh menampung sehingga 300 penduduk,” katanya.

Katanya beliau berharap lebih banyak kumpulan dan sukarelawan akan mengambil tahu tentang keadaan itu dan membantu penduduk di blok belakang.

Lokasi pangsapuri itu di Taman Sri Muda adalah antara kawasan paling teruk terjejas akibat banjir hujung minggu lalu selepas hampir tiga hari hujan berterusan yang bermula pada 17 Disember lalu.

Selain Sri Muda, Hulu Langat dan Klang juga antara kawasan paling teruk terjejas di Lembah Klang.

Banjir juga berlaku di Perak, Pahang, Kelantan, Terengganu, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan.

Sehingga Isnin jumlah kematian negara akibat banjir ialah seramai 48 orang. – 29 Disember, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen