RM34 juta disalur kepada 34,000 ketua isi rumah terjejas banjir, kata PM


Seorang mangsa banjir di hadapan rumahnya yang dipenuhi lumpur selepas banjir surut di Mentakab, Pahang. Sehingga semalam sejumlah RM34 juta diagihkan kepada ketua isi rumah terjejas banjir. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 28 Disember, 2021.

KERAJAAN menyalurkan sejumlah RM34 juta bagi Bantuan Wang Ihsan (BWI) untuk diagihkan kepada 34,000 ketua isi rumah di negeri-negeri yang terjejas banjir sehingga semalam.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata dana yang diperuntukkan Kerajaan Persekutuan untuk disalurkan kepada mangsa banjir perlu dipermudahkan dan disegerakan.

“Agihan BWI ini sudah mula diterima mangsa banjir semalam,” katanya menerusi catatan di Facebook rasmi hari ini.

Beliau berkata mesyuarat Task Force Pengurusan Pasca Banjir dan Kesiapsiagaan Menghadapi Gelombang Kedua Bencana Banjir yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali semalam memutuskan bantuan berkenaan akan dilaksanakan menerusi serahan tunai.

“(Ini) bagi memastikan mangsa banjir segera menerima BWI,” katanya.

Ismail Sabri berkata terdapat tiga kaedah penyaluran BWI iaitu serahan tunai di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB), serahan tunai rumah ke rumah dan pemindahan tunai secara atas talian (EFT). 

Katanya tiga kaedah berkenaan akan mempermudahkan urusan penyaluran BWI dengan lebih efektif dan pantas.

Beliau berkata bantuan berkenaan sudah mula diagihkan di peringkat PKOB dengan kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri. 

“Usaha untuk mengesan mangsa yang belum berdaftar sedang giat dijalankan oleh PKOB dan ICU (JPM),” katanya.

Sebelum ini Ismail Sabri dilaporkan sebagai berkata kerajaan bersetuju memberi sumbangan RM1,000 kepada setiap isi rumah yang terjejas akibat bencana banjir. – Bernama, 28 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen