Banjir dan politik pandir


Haris Hauzah

ADA apa yang tidak kena apabila kerajaan yang merasa terpukul serta mula tidak selesa dengan jutaan caci maki rakyat negaranya secara senyap meminta pihak Twitter menghapuskan segala bukti kegagalan mereka di media sosial?.

Bagi memahami fenomena menyenyapkan suara rakyat ini, kita harus kembali melihat apa yang berlaku sebelum daripada hari bencana banjir besar melanda. 

Pada 9 Disember misalnya, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dengan penuh bangga memahsyurkan kepada rakyat jelata kononnya prestasi keseluruhan jemaah menteri pada sepanjang tempoh 100 hari penguasaan mereka layak dikurnia markah 90 peratus secara keseluruhannya. 

Dalam ucapannya Ismail Sabri menyimpulkan pentadbiran 100 hari kerajaan pimpinannya dengan gambaran yang sangat berjaya.

Dua bulan sebelum itu pula, iaitu pada 5 Oktober perdana menteri siap melancarkan Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2021 yang kononnya bertujuan bagi meningkatkan tahap kesedaran dan kesiapsiagaan pelbagai pihak terhadap bencana. 

Perdana Menteri bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal bencana pada masa itu tahu, negara sedang dalam risiko berhadapan musim monsun timur laut yang sering saban tahun membawa bencana.

Maka dalam majlis itu pun diperlihatkanlah betapa gah, bergaya dan hebatnya negara kita memiliki bermacam aset dan segala kelengkapan canggih bagi menghadapi bencana. Bahkan ada asap berwarna dengan gimik anggota turun bertali dari menara segala.

Semua itu adalah politik belaka semuanya. Politik untuk memperbodohkan fikiran rakyat Malaysia.

Politik yang sebetulnya ada di Twitter dan pelbagai platform media sosial. Di sana ada video Menteri Kewangan naik bot yang sarat dengan muatan untuk menaikkan saham politik diri sendiri. Sedang berdiri bersama puluhan pegawai mengatasnamakan politik pandir mereka sebagai misi menyelamatkan mangsa bencana.

Politik murahan sebegini malah boleh dihidu dengan mudah apabila melihat video seorang Menteri Pembangunan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat sedang asyik mencuci longkang dan koridor di pusat pemindahan sementara yang khabarnya untuk membuang sisa najis unggas dan tahi cicak yang berak merata.

Kita harus sedar bahawa apa yang mereka lakukan ini bukanlah suatu kerja, tapi hanyalah politik semata. Tanpa menyedari itu, kita akan percaya bahawa mereka sedang bekerja.

Politik bijak lawan politik pandir

Politik memang ada di mana-mana. Bahkan ia akan mengekori kita pergi ke daerah-daerah tak terduga. Seperti wilayah-wilayah banjir yang dilanda bencana.

Segala apa yang terjadi dan berlaku dalam hidup kita semuanya tertakluk pada keputusan-keputusan politik belaka. Namun kita harus sedar politik bijak dan politik pandir mana satu yang wajar kita iktiraf lalu mendukungnya.

Menteri yang semberono berkata masyarakat tidak mengambil serius pengumuman dan amaran cuaca, contohnya, tentulah bukan seorang menteri alam sekitar dan air yang tahu masalah dan reti nak menangani isu-isu bencana.

Memetik komen pensyarah dan felo penyelidik Institut Alam dan Tamadun Melayu Universiti Kebangsaaan Malaysia Dr Mohd Faizal Musa, pada pagi 17 Disember 2021, Jabatan Meteorologi Malaysia tidak menyenaraikan Selangor dalam amaran banjirnya. 

Amaran banjir bagi negeri Selangor pada hari itu hanya dikeluarkan pada jam 3.20 petang, 6.45 petang dan 10.45 malam. Ketika itu segalanya sudah terlambat untuk orang awam bersiap sedia apabila hujan sudah pun mencurah-curah tanpa henti dengan secepatnya air naik membanjiri penempatan mereka.

Meminjam kata-kata Dr. Mohd Faizal Musa: “Dah tu tang mana menteri PAS itu kata orang tak pedulikan amaran cuaca?”

Politik pandir nak menyelamatkan jawatan dan tengkuk sendiri jenis begini memang cukup bahaya. Malah terbukti politik bodoh, sombong dan jahat sebegini meragut lebih 45 nyawa sekelip mata. Kerosakan dan kerugian memang tak terkata. Apatah lagi dengan bantuan berupa seribu ringgit untuk satu keluarga.

Sebagai rakyat biasa yang tidak hidup dengan pelbagai faedah yang dinikmati anak menantu menteri atau dilahirkan senang lenang atas dulang emas istana, tiada banyak perkara yang rakyat kecil seperti mangsa-mangsa banjir itu mahukan dari kerajaan mereka selain hanya tanggungjawab dan kebijaksanaan mereka menjalankan kerja. 

Politik berduyun-duyun turun ke kawasan bencana dengan puluhan pegawai media dan pengawai pengiring tidak akan menyelesaikan masalah atau menyelamatkan apa-apa bencana.

Kita tahu politik mampu menyelesaikan banyak masalah, tetapi politik juga berkeupayaan mencetuskan macam-macam bencana.

Bukan kerana rakyat tak pedulikan ramalan kajicuaca. Tapi kerana negara ini memiliki menteri yang bukan ahli, tiada bertanggungjawab dan tak pula reti menjalankan kerja. Kerana itulah negara hanya ada bulan kesedaran bencana tapi gagal dalam menghadapinya. 

Kita tidak akan tahu apa sebenarnya yang terjadi kepada aset-aset waktu bencana yang negara ini ada.

Rakyat tidak perlukan lagi permainan politik menteri, exco, ahli parlimen atau orang politik yang perlu diarah pulang dan menamatkan percutian luar negara mereka segera kerana bencana pun dah reda.

Rakyat hanya perlukan kerajaan yang bertanggungjawab dan sebaris menteri bijaksana yang tahu menjalankan tanggungjawab mereka secara amanah dan bijaksana.

Bukan politik pandir menyalahkan masyarakat sedangkan dia sendiri gagal mengkoordinasikan bantuan bencana. Bukan politik murahan konon bersihkan rumah mangsa bencana, walhal itu hanyalah untuk kepentingan politik di media sosial mereka sahaja.

Ada banyak yang tidak kena dengan politik kerajaan yang kita ada. Jawapannya semua ada di Twitter dan media sosial. Kerana itulah semua itu mahu cepat-cepat disenyap dan dihapuskan mereka. – 27 Disember, 2021.

* Haris Hauzah, pengamat filem dan Ahli Sidang Utama Komuniti Filem Titiwangsa (Komfit).

* Haris Hauzah, pengamat filem dan Ahli Sidang Utama Komuniti Filem Titiwangsar (Komfit).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen