SKMM lawan rakyat: Bangkai gajah tidak dapat ditutup dengan nyiru


TINDAKAN Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membuat permohonan kepada Twitter untuk membuang ciapan-ciapan yang mengkritik tindakan kerajaan dalam menangani banjir baru-baru ini bertentangan dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. 

Kebebasan bersuara adalah asas kepada kewujudan demokrasi dan menghormati maruah manusia untuk menyatakan pendapat masing-masing.

Kelemahan pengurusan dari pihak kerajaan tidak boleh “disenyapkan” dengan sewenang-wenangnya menyekat hak rakyat untuk mengungkap rasa tidak hati mereka. 

Cubaan SKMM ini digagalkan oleh pihak Twitter sendiri kerana jelas suara-suara ciapan tersebut tidak melanggar sebarang bentuk undang-undang di Malaysia. 

Kerana hak bersuara di platform media sosial inilah rakyat di seluruh pelusuk negara dapat berkongsi maklumat membantu mangsa banjir.

Menteri Komunikasi dan Multimedia perlu dipertanggungjawabkan atas pelanggaran hak asasi digital ini. 

Ketakutan kepada kritikan membuktikan tahap kecekapan bekerja anda berada di tahap yang sangat memalukan.

Ruang demokrasi rakyat di alam maya wajar dipertahankan daripada mereka yang takut akan suara rakyat.

Kerajaan harus sedar bangkai gajah tidak akan dapat ditutup dengan nyiru. 

Perkara yang secara terang-terangan dipertikaikan oleh rakyat kebanyakan yang tidak mempunyai kepentingan politik seharusnya diambil kira sebagai bentuk semak imbang dalam pengurusan pentadbiran kerajaan. 

Fokus kepada penambahbaikan dan ambil kira pandangan orang ramai dalam pengurusan bencana ini. – 25 Disember, 2021.

 

* Yusmadi Yusoff, Pegawai Khas (Hal Ehwal Undang-Undang & Akta) Pejabat Ketua Pembangkang.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen