Majoriti besar GPS sudah dijangka, pembangkang tidak bersedia, kata penganalisis


Alfian Z.M. Tahir Ragananthini Vethasalam

Kelemahan parti pembangkang serta kekurangan persediaan mereka untuk bertanding menyumbang kepada kemenangan besar GPS, kata pemerhati. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Disember, 2021.

KEMENANGAN mengagumkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan menjadikan parti itu sebagai kuasa besar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), menurut pemerhati politik.

Mereka berkata, Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) perlu menjalin hubungan dengan GPS untuk memenangi Putrajaya.

Kemenangan GPS, kata mereka, sudah diramal dan dijangka ramai.

Mereka berkata, kelemahan parti pembangkang serta kekurangan persediaan mereka untuk bertanding menyumbang kepada kemenangan besar GPS.

Keputusan rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya menunjukkan GPS memenangi 75 kerusi daripada 81 kerusi DUN yang diumumkan semalam untuk memperoleh majoriti besar bagi membentuk kerajaan Sarawak seterusnya.

Gabungan itu memenangi 72 kerusi pada pilihan raya 2016.

Di pihak pembangkang, Parti Sarawak Bersatu (PSB) memenangi empat kerusi manakala DAP dua.

Ini kali pertama PBB, PRS, PDP dan SUPP memenangi PRN di bawah sepanduk GPS baharu mereka. Sebelum ini mereka sebahagian daripada BN yang tumbang di Sarawak selepas PRU14.

Ahli akademik kanan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali memberitahu The Malaysian Insight GPS mempunyai kelebihan dalam menghadapi pilihan raya kerana ia mengawal naratif rakyat dan pembangunan di negeri itu.

Beliau berkata, perpecahan antara parti pembangkang menyumbang kepada kemenangan GPS.

“GPS sebagai kerajaan negeri mempunyai kelebihan besar. Mereka boleh mengawal naratif dan perkembangan politik di Sarawak. GPS juga menunjukkan ia satu-satunya gabungan yang boleh menjamin kestabilan di negeri itu.

“Tambahan pula, pembangkang tidak bersatu. Pakatan Harapan (PH) dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) tidak bekerjasama untuk berdepan GPS.

“PKR dan DAP juga mempunyai sedikit perselisihan faham menjelang pilihan raya. Orang ramai melihat itu sebagai kelemahan dan mereka tidak yakin. Mereka bukan sahaja tidak teratur, mereka juga tidak bersedia. Oleh itu GPS dijangka menang besar,” katanya.

Ahli akademik Universiti Malaya Prof Dr Awang Azman Awang Pawi sebaliknya berkata, kemenangan GPS menunjukkan gabungan itu boleh maju tanpa menjadi sebahagian daripada BN atau PN secara rasmi.

Awang Azman menyatakan keyakinan pengundi Sarawak dan pandangan mereka terhadap GPS yang memancarkan kestabilan dan keharmonian adalah faktor utama melakar kemenangan gabungan itu.

“Selain itu, GPS mencapai banyak kejayaan sejak ia mula memerintah secara bebas daripada BN dan mesra dengan PN,” katanya.

“Ini juga menunjukkan pengundi Sarawak menolak politik ekstrem seperti berpisah dari Malaysia atau politik perkauman ekstrem yang menjadi manifesto parti politik tertentu,” katanya. – 19 Disember, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen