Perhalusi semula program induksi, elak buli, kata senator


Senator Isa Ab Hamid berharap proses pengenalan senior ini perlu diperhalusi supaya melalui proses lebih murni dan lebih mendekati suatu persaudaraan yang lebih baik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Disember, 2021.

PROSES pengenalan senior dan pelajar baharu atau induksi di institusi pendidikan perlu diperhalusi supaya melalui proses yang lebih baik bagi mengelak masalah buli dalam kalangan pelajar.

Senator Isa Ab Hamid berkata “ragging” di institusi pendidikan suatu masa dahulu lebih kepada pembinaan modal insan yang kuat jika dilihat dari sudut positif, namun perubahan era membawa kepada masalah buli pada masa kini.  

“Pelajar dulu diistilah sebagai nakal, pelajar sekarang diistilahkan biadab, jadi proses pengenalan senior ataupun ragging ini melampau. Kalau dulu, (ragging) satu proses untuk berkenalan, saling menghormati, sekarang budaya itu sudah hilang bentuk, maknanya sudah hilang. 

“Saya harap proses pengenalan senior ini perlu diperhalusi supaya melalui proses lebih murni (dan) lebih mendekati suatu persaudaraan yang lebih baik,” katanya ketika mencelah perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) oleh Senator Khairil Nizam Khirudin pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Sementara itu, Senator Othman Aziz ketika mencelah perbahasan Khairil Nizam berkata Kementerian Pendidikan selain pihak Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) perlu melihat secara menyeluruh termasuk mengadakan sesi libat urus dengan ibu bapa bagi menyelesaikan isu buli.

“Kita melihat hari ini banyak dalam kalangan ibu bapa apabila hantar anak ke asrama, tinggalkan anak kepada warden tetapi warden pun mempunyai kekangan diri, kekangan hidupnya (kerana warden juga dalam kalangan guru),” kata Othman.

Media pada 10 Disember melaporkan mengenai video berdurasi 10 saat tular di media sosial yang memaparkan seorang pelajar dikepung dalam bilik asrama dan ditumbuk di bahagian perut oleh rakan-rakannya, tindakan yang mendapat kecaman hebat warganet.

Sementara itu, Khairil Nizam mencadangkan supaya perjawatan warden khusus diwujudkan di institusi pendidikan tanpa melibatkan guru, selain menyemak semula gaji warden yang tidak setara dengan tugasan mereka.

Isu tersebut turut mendapat perhatian Yang Dipertua Dewan Negara Rais Yatim yang mencadangkan Jawatankuasa Pilihan Khas Sosiobudaya, Komunikasi dan Pendidikan mengambil kira masalah berkenaan dalam perundingannya.

“Kita sekarang sudah ada tiga Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Negara yang boleh menangani hal ini. Jadi saya dengan ini membuat penentuan supaya jawatankuasa berkaitan dengan komunikasi dan pendidikan ambil hal ini dalam perundingannya dan keluarkan beberapa arahan setelah dibuat siasatan.

“Ini akan memberi kuasa legislatif yang khusus kepada hal dibangkitkan ini. Cara ini juga, kita kian lama kian berkesan dalam jawatan kita dan tugasan kita sebagai legislator,” katanya.

Persidangan Dewan Negara bersambung Isnin. – Bernama, 16 Disember, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen