Polis Perak sahkan kes buli di sekolah asrama


Kalidevi Mogan Kumarappa

POLIS Perak mengesahkan satu kejadian buli membabitkan pelajar lelaki berlaku semalam di sebuah sekolah berasrama di negeri itu.

Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid ketika dihubungi The Malaysian Insight berkata kertas siasatan juga sudah dibuka berhubung kejadian buli itu.

“Saya mengesahkan kejadian itu berlaku di negeri ini dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

“Kejadian itu berlaku semalam di sebuah sekolah berasrama penuh dan laporan polis berkaitan kejadian itu diterima hari ini,” katanya.

Mior berkata kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan atas kesalahan merusuh dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Beliau mengulas video yang tular di media sosial menunjukkan beberapa pelajar lelaki melakukan kekasaran ke atas seorang lagi pelajar.

Beberapa video pendek itu menjukkan kumpulan pelajar tersebut mengepung mangsa dan menumbuk bahagian abdomen pelajar lelaki itu sambil tertawa sesama mereka.

Video yang dipercayai dirakam salah seorang individu di tempat kejadian menunjukkan kes itu berlaku di bilik asrama.

Kejadian itu turut disahkan Menteri Pendidikan Radzi Jidin yang berkata kejadian itu tidak melibatkan insitusi bawah kementeriannya.

“Namun, KPM telah berhubung dengan pihak yang terlibat dan dimaklumkan bahawa tindakan susulan telah pun diambil.

“KPM komited untuk menyediakan persekitaran sekolah yang selamat selaras dengan konsep sekolahku sejahtera,” katanya.

Kes berkenaan menimbulkan kecaman meluas di media sosial selain kebimbangan bahawa individu terlibat dalam kes tersebut akan terlepas daripada pengadilan.

Antara kes buli paling menggemparkan melibatkan kematian seorang penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) empat tahun lalu.

Kes melibatkan mangsa Zulfarhan Osman Zulkarnain berakhir dengan enam pelajar didapati bersalah menyebabkan kematian tanpa niat. – 10 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen