KENYATAAN Dr Mahathir Mohamad mengenai makan dengan penyepit telah difahami dan dipolitikkan di luar konteks, kata Ketua Penerangan Pejuang Ulya Aqamah Husamudin.
Kenyataan itu disebut sebagai menjawab soalan tentang wajar atau tidak Malaysia mencontohi jalan asimilasi yang berlaku di Indonesia, katanya, dan bukan untuk menyinggung mana-mana pihak.
“Analogi (makan dengan penyepit) disebut untuk menunjukkan contoh bagaimana keadaan yang berbeza di Malaysia kerana rakyat Malaysia menentukan dan mengaitkan diri mereka dengan asal usul.
“Isu sebenar daripada kenyataan itu ialah sejauh mana kita bersedia untuk berasimilasi sebagai sebuah bangsa yang bekerjasama tanpa sebarang sentimen sebagai Melayu Malaysia, Cina Malaysia, India Malaysia dan sebagainya,” kata Ulya dalam satu kenyataan.
Dr Mahathir membuat kenyataan itu semasa forum selepas pelancaran memoir terbarunya “Capturing Hope: The Struggle Continues for a New Malaysia”, yang dilancarkan semalam.
Kenyataan itu bagaimanapun mendapat reaksi negatif dan kecaman pelbagai pihak termasuk di media sosial dan dalam kalangan pemimpin politik, antaranya Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Naib Presiden MCA Tan Teik Cheng.
Ulya mengingatkan usaha untuk mewujudkan sebuah bangsa yang satu masih lagi sukar selagi ada tembok pemisah antara sesama rakyat.
“Kita boleh berpura-pura isu ini tidak mewujudkan jurang antara kita tetapi realitinya tidak semolek itu.
“Lihat saja di keliling kita. Masih ada yang enggan menyewakan kediaman kepada kaum lain, masih ada syarikat yang enggan mengambil pekerja kaum lain.
“Ini semua kerana kita masih menentukan diri kita berdasarkan kaum dan bukan sebagai bangsa Malaysia,” katanya.
Ulya seterusnya mengingatkan perkara ini masih pantang dalam masyarakat tetapi ia mesti dibincangkan.
“Kalau kita tidak membincangkannya, kita akan terus menafikannya. Perbincangan itu mesti berlaku untuk memastikan sebuah masa depan negara yang lebih baik,” katanya. – 13 Disember, 2021.
Komen