PANDANGAN Dr Mahathir Mohamad tentang asimilasi tetapi bukannya integrasi kaum terlalu mudah dan menyinggung perasaan, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
Salah dan memecah belahkan kenyataan bekas pengerusi Pakatan Harapan (PH) semalan yang orang Cina susah berasimilasi di Malaysia, mengambil contoh penggunaan penyepit untuk makan bukannya menggunakan tangan, kata Lim.
“DAP kesal kerana bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad gunakan perumpamaan masyarakat Cina guna penyepit untuk tonjol cabaran dalam asimilasi penduduk bukan Melayu di negara ini, dan sebagai bukti mereka lebih dekat dengan negara asal mereka.
“Tun salah sebab fokuskan asimilasi dan bukannya integrasi, menggunakan penyepit dan tidak makan guna tangan itu adalah salah satu sebab yang membawa kepada perpecahan dalam kalangan rakyat.
“Ini bukan sahaja terlalu mudah tetapi menyinggung perasaan masyarakat Cina di sini,” kata Lim dalam satu kenyataan.
Semalam Dr Mahathir berkata penggunaan penyepit oleh masyarakat Cina menunjukkan mereka menjaga adat mereka sendiri dan tidak mengamalkan “cara makan Malaysia”.
“Orang Cina makan guna chopstick, mereka tidak makan guna tangan. Mereka tidak menyerap cara orang Malaysia makan.
“Mereka mengekalkan penggunaan chopstick yang merupakan identiti China, bukan Malaysia, dan banyak lagi perkara lain,” katanya seperti dipetik Malaysiakini sebagai berkata dalam sesi dialog ketika pelancaran memoir terbaharunya ‘Capturing Hope: The Struggle Continues for a New Malaysia’.
Dr Mahathir bercakap mengenai susahnya masyarakat Cina berasimilasi di Malaysia.
Lim bagaimanapun berkata tumpuan harus diberikan kepada integrasi dan bukannya asimilasi kerana tidak ada salahnya masyarakat etnik mengekalkan adat dan warisan mereka sendiri di samping menjadi rakyat Malaysia.
“Daripada asimilasi, tumpuan harus diberikan kepada integrasi rakyat, sama seperti integrasi Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung Malaysia untuk mencapai perpaduan dalam kepelbagaian sebagai sebuah negara Malaysia,” katanya. – 13 Disember, 2021.
Berita penuh di sini.
Komen