KENYATAAN Dr Mahathir Mohamad berkenaan orang Cina di Malaysia dan penggunaan penyepit makanan sebagai analogi menggambarkan kegagalan untuk berasimilasi di negara ini menunjukkan beliau terperangkap dalam pemikiran sempit dan perkauman, kata seorang pemimpin MCA.
Seorang naib presiden parti Tan Teik Cheng berkata bagi seseorang yang sudah hidup cukup lama untuk menyaksikan penjajahan di bawah British, pendudukan Jepun, kemerdekaan dan pemodenan Malaysia, Dr Mahathir masih memegang “nilai-nilai yang tidak mempunyai tempat dalam masyarakat berbilang budaya Malaysia”.
“Walaupun kesedaran penuh tentang komposisi berbilang kaum Malaysia dan sudah berkhidmat sebagai perdana menteri negara sebanyak dua kali, Dr Mahathir tetap tergila-gila dengan menghasut perbezaan dalam budaya etnik, bahasa dan gaya hidup rakyat sebagai modal politiknya.
“Betapa ironi dan bertentangan dengan sikap yang diharapkan daripada tokoh politik paling kanan Malaysia.
“Kenyataannya mengkhianati keutamaannya bahawa kumpulan etnik lain mesti berasimilasi. Kali ini beliau memetik ‘jangan makan dengan tangan mereka’ sebagai simbol khusus untuk tidak berasimilasi dengan masyarakat Malaysia,” kata Tan dalam satu kenyataan.
Semalam Dr Mahathir berkata penggunaan penyepit oleh masyarakat Cina menunjukkan mereka menjaga adat mereka sendiri dan tidak mengamalkan “cara makan Malaysia”.
“Orang Cina makan guna chopstick, mereka tidak makan guna tangan. Mereka tidak menyerap cara orang Malaysia makan.
“Mereka mengekalkan penggunaan chopstick yang merupakan identiti China, bukan Malaysia, dan banyak lagi perkara lain,” katanya seperti dipetik Malaysiakini sebagai berkata dalam sesi dialog ketika pelancaran memoir terbaharunya ‘Capturing Hope: The Struggle Continues for a New Malaysia’.
Dr Mahathir bercakap mengenai susahnya masyarakat Cina berasimilasi di Malaysia.
Tan berkata Dr Mahathir membuat kesilapan dan kenyataannya menjejaskan perpaduan negara.
“(Ia) bukan Malaysia dan tidak sihat dalam menjalin hubungan antara etnik.
“Sama ada orang Cina Malaysia makan menggunakan tangan, penyepit atau garfu dan sudu atau pisau, identiti kita sebagai rakyat Malaysia bersama dengan kewarganegaraan kita tidak boleh diubah atau dinafikan,” tambah Tan.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng turut menyelar Dr Mahathir hari ini dengan berkata kenyataan bekas pengerusi Pakatan Harapan itu sebagai “terlalu mudah dan menyinggung perasaan”.
Lim menambah Dr Mahathir seharusnya memberi tumpuan kepada integrasi dan bukannya asimilasi kerana tidak ada salahnya masyarakat etnik mengekalkan adat dan warisan mereka sendiri di samping menjadi rakyat Malaysia.
“Daripada asimilasi, tumpuan harus diberikan kepada integrasi rakyat, sama seperti integrasi Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung Malaysia untuk mencapai perpaduan dalam kepelbagaian sebagai sebuah negara Malaysia,” katanya.
Tan juga menyatakan Dr Mahathir yang pertama kali berkhidmat sebagai perdana menteri selama 22 tahun di bawah Barisan Nasional tidak dapat melepaskan diri dari stereotaip bahawa orang Cina Malaysia adalah ancaman kepada orang Melayu walaupun dia melakukannya secara tidak sengaja. – 13 Disember, 2021.
Komen