Keputusan kes sivil tak jejas usaha pertahan DUN Bawang Assan, kata presiden PSB


Presiden Parti Sarawak Bersatu Wong Soon Koh kes saman sivil oleh kerajaan negeri terhadapnya bukan kes jenayah, tidak jejas peluangnya pertahan DUN Bawang Assan dalam pilihan raya negeri nanti. – Gambar Facebook, 8 Disember, 2021.

PENYANDANG kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bawang Assan Wong Soon Koh yakin apa jua keputusan dalam saman fitnah kerajaan negeri terhadapnya pada hari Jumaat ini, tidak akan memberi kesan terhadap peluangnya untuk mempertahankan kerusi DUN berkenaan pada pilihan raya 18 Disember ini.

Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB) itu berkata ia merupakan saman sivil yang tidak memberi kesan terhadap penglibatan beliau dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Ia adalah kes sivil, bukannya kes jenayah,” katanya semasa menjelaskan perkara itu pada persidangan media di Sibu hari ini.

Keputusan kes saman yang dijadualkan di Mahkamah Tinggi Kuching hari ini, telah ditangguhkan sehingga Jumaat, 10 Disember ini.

Kerajaan negeri mengemukakan saman RM5 juta terhadap Wong yang merupakan bekas menteri kewangan negeri kerana dikatakan memfitnah dalam kenyataan pada 9 Mei lepas mengenai penyelesaian dengan Petronas berhubung Cukai Jualan Negeri.

PSB akan melancarkan manifestonya bagi PRN Sarawak esok menerusi platform media sosial dan akhbar dalam bahasa Inggeris, Melayu, Cina dan Iban.

DUN Bawang Assan menyaksikan pertandingan lima penjuru antara Wong, Robert Lau Hui Yew (Gabungan Parti Sarawak), Michelle Ling Shyan Mih (Parti Bumi Kenyalang), Amy Lau Bik Yieng (DAP) dan Ricky Enteri (Bebas). – Bernama, 8 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen