4 hakim kini yakin Najib bersalah, kata pendakwa raya


Hailey Chung Wee Kye

Ketua pendakwa raya V. Sithambaram berkata tiga hakim Mahkamah Rayuan dan seorang hakim Mahkamah Tinggi kini sudah jelas bahawa bekas perdana menteri Najib Razak bersalah dalam kes SRC International Sdn Bhd.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 8 Disember, 2021.

TIGA hakim Mahkamah Rayuan dan seorang hakim Mahkamah Tinggi kini sudah jelas bahawa bekas perdana menteri Najib Razak bersalah dalam kes SRC International Sdn Bhd, kata ketua pendakwa raya V. Sithambaram.

Beliau memberitahu pemberita di Mahkamah Rayuan hari ini bahawa keempat-empat hakim itu yakin dengan keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan.

Sithambaram berkata namun begitu, tidak diketahui sama ada Mahkamah Persekutuan akan terus mengekalkan keputusan ke atas kesemua tujuh pertuduhan terhadap Najib.

Beliau berkata, orang ramai boleh menjangkakan untuk mengetahui keputusan dalam tempoh enam hingga sembilan bulan.

“Sebagai peguam, kita tahu apa sahaja boleh berlaku di mahkamah,” katanya.

“Hujah pembelaan setakat ini gagal, jadi sama ada mereka boleh mengubah fikiran tiga atau lima hakim lagi tidak diketahui.

“Tetapi setakat ini, empat hakim itu sudah jelas dalam fikiran mereka daripada penghakiman yang mereka baca bahawa kesalahan telah dibuktikan dengan cara yang jelas, tidak ada keraguan mengenainya.”

Pada Julai tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali mendapati Najib bersalah atas tujuh pertuduhan pengubahan wang haram, pecah amanah jenayah dan salah guna kuasa.

Ahli Parlimen Pekan berusia 68 tahun itu dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Hari ini, Hakim Mahkamah Rayuan Abdul Karim Abdul Jalil, mengetuai panel tiga hakim bersama Has Zanah Mehat dan Vazeer Alam Mydin Meera, sebulat suara bersetuju untuk kekalkan hukuman.

Berita penuh di sini.

 


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen