Najib bersalah 7 tuduhan kes SRC International


Bede Hong

Bekas perdana menteri Najib Razak didapati bersalah ke atas kesemua tujuh tuduhan kerana menerima RM42 juta dari SRC International. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 28 Julai, 2020.

NAJIB Razak didapati bersalah ke atas kesemua tujuh tuduhan kerana menerima RM42 juta dari SRC International.

Beliau menjadi bekas perdana menteri Malaysia pertama yang didakwa dan disabitkan dengan kesalahan.

Bekas menteri kewangan itu disabitkan dengan tiga kesalahan pecah amanah, tiga tuduhan pengubahan wang haram dan satu tuduhan salah guna kuasa.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali menyampaikan keputusan itu selepas membaca pengkahiman selama lebih sejam.

Kes SRC International merupakan yang pertama daripada lima perbicaraan yang dihadapi ahli Parlimen Pekan itu selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

Berkenaan hujah pembelaan bahawa pendakwaan tidak dapat wujudkan kaitan antara RM42 juta dalam akaun Najib dan pinjaman RM4 bilion Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) kepada SRC International, Nazlan berkata pendakwaan tidak perlu berbuat demikian dalam kes untuk buktikan bekas perdana menteri itu bersalah.

“Pinjaman kedua RM2 bilion daripada KWAP kepada SRC International diluluskan walaupun Najib tidak tahu apa sebenarnya berlaku pada pinjaman pertama RM2 bilion.

“Saya dapati sukar untuk terima kerana jumlah yang terlibat sangat besar,” kata Nazlan, sambil menambah pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap tuduhan salah guna kuasa Najib.

Bagi tuduhan rasuan dan pengubahan wang haram, Nazlan berkata hujah pembelaan bahawa Najib menerima wang daripada Abdullah bin Abdulaziz Al Saud tidak dapat diterima mahkamah kerana tidak ada bukti Najib berusaha untuk mengesahkan sumbangan atau tujuannya dengan raja atau kerajaan Arab Saudi.

“Tertuduh boleh buat panggilan untuk mengesahkan sumbangan,” katanya, sambil menambah tiada komunikasi antara Najib dengan pegawai kementerian luar negeri atau Riyadh. – 28 Julai, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen