Sabitan, hukuman Najib kekal, kata Mahkamah Rayuan


Hailey Chung Wee Kye

Penyokong bekas perdana menteri Najib Razak berkumpul di luar Istana Kehakiman di Putrajaya pada 8 Disember 2021. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 8 Disember, 2021.

MAHKAMAH Rayuan mengekalkan sabitan tujuh kes salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram ke atas Najib Razak melibatkan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Julai 2020.

Mahkamah Rayuan juga mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Mahkamah Rayuan kemudian membenarkan penangguhan hukuman sementara menunggu rayuan akhir Najib ke Mahkamah Persekutuan, dengan jaminan yang sama sebelum ini iaitu RM2 juta dengan dua penjamin.

Najib menghadiri sidang secara dalam talian bersama barisan peguamnya selepas seorang peguambela dijangkiti Covid-19 sementara pihak pendakwaan berada di mahkamah di Putrajaya.

Hakim rayuan Abdul Karim Abdul Jalil yang mengetuai panel tiga hakim berkata kes terhadap bekas perdana menteri telah dibuktikan melampaui keraguan munasabah.

“Kami menolak rayuan atas semua tujuh pertuduhan dan mengekalkan sabitan,” kata Abdul Karim.

Dalam ringkasan penghakiman yang dibacakan di mahkamah, Abdul Karim bersetuju dengan semua dapatan fakta dan undang-undang oleh Mohd Nazlan semasa perbicaraan.

Katanya, Najib mempunyai kepentingan peribadi semasa jemaah menteri yang diketuainya selaku perdana menteri meluluskan jaminan kerajaan untuk pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP).

Abdul Karim juga berkata apa yang Najib lakukan berkait dengan pinjaman berkenaan “bukanlah untuk kepentingan negara tetapi memalukan negara.”

Mahkamah Rayuan bersetuju dengan dapatan Mohd Nazlan bahawa Najib adalah pengarah bayangan SRC International, yang berkuasa penuh terhadap bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu.

Najib adalah otak di sebalik SRC International, katanya.

Mahkamah Rayuan juga bersetuju RM42 juta diseleweng keluar dari SRC International dan dipindahkan ke beberapa syarikat dengan tujuan mengelirukan pihak berkuasa.

Najib tahu wang berkenaan masuk ke akaunnya antara 2014 dan 2015, dan tahu wang itu diseleweng untuk kegunaannya sendiri, kata Abdul Karim.

Mahkamah Rayuan juga mendapati pembelaan Najib bahawa duit berkenaan adalah derma daripada putera Arab adalah rekaan tanpa sebarang asas.

Katanya, tiada bukti menunjukkan duit itu derma putera Arab tetapi ada bukti duit berkenaan daripada akaun SRC International.

Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Najib bersalah atas semua tujuh tuduhan – tiga kes jenayah pecah amanah, tiga kes pengubahan wang haram, dan satu pertuduhan salah guna kuasa.

Beliau dihukum penjara 10 tahun bagi setiap satu pertuduhan jenayah pecah amanah dan 10 tahun juga bagi setiap satu kes pengubahan wang haram. Bagi pertuduhan salah guna kuasa, Najib dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Beliau juga berdepan hukuman penjara lima tahun sekiranya gagal membayar denda.

Semua hukuman penjara berjalan serentak.

Najib masih berdepan 35 pertuduhan lain melibatkan jenayah pecah amanah, pengubahan wang haram, dan salah guna kuasa yang sedang dibicarakan di mahkamah. – 8 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen