1,022 sekolah daif di Sarawak akan dinaik taraf, kata PM


Ismail Sabri berucap pada majlis makan malam bersama rakyat di Kuching, malam ini. – Gambar Facebook, 4 Disember, 2021.

KERAJAAN mengenal pasti sebanyak 1,022 sekolah daif di seluruh Sarawak untuk dinaik taraf dan dibaik pulih, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, kerajaan pimpinannya tidak akan berkompromi dalam hal pendidikan terutamanya bagi memberi keselesaan kepada pelajar.

“Apabila saya mendengar taklimat pembangunan Sarawak, saya dimaklumkan mengenai rumah guru dan sekolah daif di Sarawak. Saya panggil Menteri Kewangan minta pastikan isu itu diselesaikan segera.

“Kita (kerajaan) akan sediakan peruntukan besar untuk pastikan sekolah daif itu dapat kita naik taraf, dibaik pulih atau dibina baru… di seluruh Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis makan malam bersama rakyat yang turut dihadiri Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg di Kuching malam ini.

Sementara itu, mengenai pembangunan di Sarawak, Ismail Sabri berkata, kerajaan persekutuan pimpinannya akan sentiasa memberi tumpuan kepada negeri itu.

Sebagai contoh, katanya, program Jalinan Digital Negara (Jendela) yang membabitkan Sabah dan Sarawak akan memastikan semua kawasan luar bandar mendapat capaian Internet tanpa gangguan.

“Kita tidak mahu seperti berlaku di Sabah sebelum ini apabila ada yang kena panjat pokok untuk dapat Internet. Jadi kita bagi peruntukan besar supaya capaian 5G dapat dicapai di Sabah dan Sarawak,” katanya. – Bernama, 4 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen