PKR umum 27 calon PRN Sarawak


PKR memutuskan untuk bertanding di kerusi yang mempunyai peluang kemenangan yang tinggi pada PRN Sarawak ke-12.– Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Disember, 2021.

PKR hari ini mengumumkan 27 calon yang akan mewakili parti itu pada  Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 pada 18 Disember ini.

Antara yang diumumkan adalah Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sarawak Abg Zulkifli Abg Engkeh bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Beting Maro dan Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri PKR Sarawak Joshua Jabeng di DUN Kakus.

Joshua berkata pengumuman hanya 27 calon adalah berdasarkan keputusan PKR untuk bertanding di kerusi yang mempunyai peluang kemenangan yang tinggi setelah membuat perincian.

“Rasional di sebalik ini bukan untuk bertanding tetapi yang lebih penting untuk menang… oleh kerana kita fokus kepada kemenangan, kita pilih kerusi yang kita yakin menang.

“Selain itu, di mana ada parti DAP bertanding, PKR tidak akan bertanding bagi mengelakkan pertindihan. Itu adalah prinsip serta semangat kami dalam Pakatan Harapan (PH),” katanya pada sidang media pengumuman nama calon parti itu di ibu pejabat PKR Sarawak di Kuching.

Semalam, Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sarawak Abang Zulkifli Abang Engkeh berkata PKR akan bertanding di 49 daripada 82 kerusi pada PRN ke-12 itu.

Sementara itu, Pengarah Jawatankuasa Pilihan Raya PKR Negeri  Dominique Ng berkata kali ini PKR bertindak rasional dengan tidak meletakkan calonnya di kerusi yang tidak mempunyai harapan untuk menang.

“Sebenarnya, 49 kerusi yang kami nyatakan sebelum ini adalah kerusi yang diberi tumpuan, tetapi kami tidak menyatakan kami akan bertanding secara realiti, kami lebih menumpukan perhatian di kerusi boleh menang daripada meletakkan calon di kawasan yang kami langsung tiada peluang.

“Sekarang ini nampaknya banyak parti lain… jadi kami memutuskan untuk mengurangkan kerusi kerana kami perlu realistik dalam jangkaan kami. Sebab itu, kami lebih suka membuat pengurangan drastik,” katanya.

Ng berkata PKR mungkin akan membuat perubahan di saat akhir dan berkemungkinan akan menambah lagi calon-calon yang bertanding.

“Ini adalah senarai 27 yang kita boleh umumkan dan akan ada satu atau dua kerusi lagi (kemungkinan akan diputuskan di saat akhir). Tetapi sudah tentu tiada pertembungan dengan DAP, kerana kami bertanding dalam PH yang sama,” katanya.

Berikut ialah senarai calon PKR bagi PRN Sarawak ke-12:

  1. Opar - Meneng Biris
  2. Tupong - Ahmad Nazib Johari
  3. Satok - Nor Dahlia Esapian Eyau
  4. Batu Lintang - Cherishe Ng
  5. Asajaya - Mahmud Epah
  6. Serumbu - Micheal Sawing
  7. Tarat - Christo Micheal
  8. Tebedu - Senior William Rade
  9. Sadong Jaya - Piee Ling
  10. Lingga - Abg Abd Kasim Abg Bujang
  11. Beting Maro - Abg Zulkifli Abg Engkeh
  12. Saribas - Patrick Kamis
  13. Bukit Saban - Mikail Mathew Abdullah
  14. Ngemah - Satu Anchom
  15. Machan - M Fauzi @ Joseph Usit
  16. Telian - Mohd Arwin Abdullah
  17. Balingian - Abd Jalil Bujang
  18. Kakus - Joshua Jabeng
  19. Katibas - Munan Laja
  20. Murum - Ani Amat
  21. Bekenu - Norhafizah Johari
  22. Lambir - Zolhaidah Suboh
  23. Marudi - Elias Lipi
  24. Telang Usan - Philip Jau Ding
  25. Mulu - Roland Engan
  26. Batu Danau - Racha Balang
  27. Ba’kelalan - Martin Samuel Labo. – Bernama, 3 Disember, 2021.

Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen