Hanya anak kapal lelaki dalam penerbangan AirAsia ke Aceh


Muzliza Mustafa

KESEMUA anak kapal syarikat penerbangan tambang murah Malaysia, AirAsia yang membuat penerbangan ke Aceh akan terdiri dari lelaki, berikutan arahan yang mewajibkan anak kapal wanita memakai tudung sebaik mendarat ke wilayah itu.

Dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insight hari ini, AirAsia berkata ia maklum akan peraturan yang dikenakan oleh pihak berkuasa Aceh.

“Kami komited untuk memastikan operasi kami mematuhi peraturan itu. Buat masa ini, kesemua penerbangan pergi balik ke Aceh akan dikendalikan oleh anak kapal lelaki.”

Pihak berkuasa Aceh berkata anak kapal wanita Islam yang gagal mematuhi arahan itu akan dikenakan hukuman oleh polis syariah.

Bagaimanapun, tidak dinyatakan apakah jenis hukuman tersebut.

Di bawah undang-undang Islam di Aceh setiap wanita Islam diwajibkan memakai tudung manakala wanita bukan Islam boleh memilih untuk memakai pakaian yang tidak menjolok mata.

Gebenor Aceh Besar, Mawardy Ali berkata arahan baru itu dikeluarkan selepas beberapa pramugari Islam enggan mematuhi arahan bertudung walaupun hanya untuk persinggahan sebentar.

Mawardy berkata beliau akan menemui beberapa syarikat penerbangan minggu ini dan beberapa maklumat mengenai arahan itu kepada akan disebarkan sepanjang minggu.

Presiden Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM) Ismail Nasaruddin berkata, syarikat penerbangan tidak mempunyai pilihan lain selain dari mematuhi arahan itu.

“Anda tiada pilihan selain menyediakan mereka (krew kabin) untuk arahan itu.”

Ismail berkata ini bukanlah kes pertama peraturan seumpama itu dikeluarkan, sama seperti yang diwajibkan ke atas pramugari wanita bagi penerbangan ke Jeddah.

“Peraturan negara-negara itu berbeza dengan peraturan kita, di mana undang-undang mewajibkan orang Islam atau mana-mana wanita memakai tudung.

“Jadi, jika AirAsia terbang ke Aceh, ia perlu mematuhi arahan tersebut. Mereka tidak boleh mendarat sekiranya enggan mematuhi undang-undang tempatan.” – 31 Januari, 2018.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • This shows that the long championed equality of men and women in job industry must remain a fallacy for a certain group of people. Hypocrisy in action.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Tanahair Ku · Ulasan