Rancangan Pakatan tolak belanjawan JPM gagal


Chan Kok Leong Ragananthini Vethasalam

RANCANGAN Pakatan Harapan untuk mengundi menolak belanjawan Jabatan Perdana Menteri (JPM) tidak menjadi kenyataan selepas tiada seorang pun daripada 90 ahli Parlimennya yang bangun untuk mengundi hari ini.

Dengan undian suara mudah, peruntukan RM4.52 bilion JPM diluluskan pada 7.18 malam hari ini.

Sabtu lalu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menggesa ahli Parlimen Pakatan untuk mengundi menentang keputusan Kabinet yang secara prinsipnya meluluskan untuk memberi bekas perdana menteri Najib Razak (Pekan-BN) hartanah bernilai jutaan ringgit semasa peringkat jawatankuasa Rang Undang-undang Perbekalan 2022 .

Lim yang juga ahli Parlimen Bagan mencadangkan yang ahli Parlimen PH meminta pengundian belah bahagi diadakan bagi membantah keputusan kerajaan. 

Namun pada pengundian hari ini, tiada seorang pun ahli parlimen Pakatan yang bangun untuk meminta undi belah bahagi.

Mengikut Peraturan Mesyuarat 46 (4), sekurang-kurangnya 15 ahli Parlimen diperlukan untuk bangkit menggesa undi belah bahagi.

Ini adalah kali kedua Pakatan memutuskan untuk tidak mengundi menentang belanjawan itu selepas mengatakan akan berbuat demikian
 
Tahun lalu, Pakatan juga memutuskan pada saat akhir untuk tidak mengundi menolak belanjawan 2021 di peringkat dasar, membolehkan ia diluluskan dengan mudah.

Walaupun Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim (Port Dickson-PH) kemudiannya berkata beliau memutuskannya pada saat akhir supaya ahli Parlimen dapat mengkaji perubahan belanjawan di peringkat jawatankuasa dan menentangnya, rancangannya gagal menjadi kenyataan.

Dewan Rakyat kini sedang membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 di peringkat jawatankuasa dan akan bersambung esok dengan Kementerian Perpaduan Negara dan Kementerian Luar Negeri. – 22 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen