Anwar arah pembangkang tidak perlu undi belah bahagi, kata sumber


Beberapa ahli Parlimen pembangkang merungut mesej Anwar Ibrahim sampai kepada mereka pada saat akhir tanpa sebarang penjelasan lanjut. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 November, 2020.

KETUA pembangkang meminta blok pembangkang untuk tidak menyokong usul undi belah bahagi terhadap Belanjawan 2021 semasa undian dijalankan ke atas cadangan kerajaan di Dewan Rakyat hari ini.

Rang Undang-Undang Perbekalan atau Belanjawan 2021 hari ini diluluskan dengan undian suara.

Undian belah bahagi ialah apabila undi ahli Parlimen dikira setiap satu, manakala undian suara dibuat berdasarkan suara yang lebih kuat didengar.

Beberapa ahli Parlimen pembangkang merungut kerana mesej itu sampai kepada mereka pada saat akhir tanpa sebarang penjelasan lanjut, kata sumber yang enggan dinamakan.

“Arahan ini dibuat pada saat akhir. Banyak wakil rakyat pembangkang kecewa dan menunggu satu penjelasan,” kata seorang ahli Parlimen kepada The Malaysian Insight, sebaik sidang Dewan Rakyat ditangguhkan petang tadi.

Seorang lagi sumber mengesahkan perkara sama. Katanya Anwar memberi arahan secara lisan semasa proses pengundian kepada pemimpin utama parti politik pembangkang termasuk Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun menolak permohonan Mahfuz Omar (Pokok Sena-Pakatan Harapan) untuk undi belah bahagi selepas tidak cukup syarat iaitu disokong oleh sekurang-kurangnya 15 ahli parlimen. Hanya 13 ahli parlimen berdiri.

Mereka yang berdiri menyokong usul undian belah bahagi ialah semua empat ahli parlimen bebas dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) diketuai Dr Mahathir Mohamad. Tiga lagi ialah Mukhriz Mahathir (Jerlun), Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) dan Shahruddin Md Salleh (Sri Gading).

Mereka disertai enam dari Amanah iaitu Khalid Samad (Shah Alam), Mohamed Hanipa Maidin (Sepang), Mohd Hatta Ramli (Lumut), Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor), Hasanuddin Yunus (Hulu Langat) dan Mahfuz.

Seorang ahli Parlimen DAP juga menyokong undi belah bahagi iaitu Mordi Bimol (Mas Gading), serta Hassan Abdul Karim (Pasir Gudang-PKR) dan Baru Bian (Selangau-PSB).

Seorang ahli parlimen DAP Kelvin Yii yang sebelum menulis di Twitter memaklumkan akan mengundi menolak belanjawan kemudian dalam satu tweet lain meminta maaf kerana tidak bangun menyokong usul undi belah bagi.

“Saya minta kerana saya tidak bangun. Saya buat pendirian di media sosial sebelum pengundian, selepas dengar ucapan. Saya menolak dalam undian suara,” tulisnya di Twitter.

Beliau bagaimanapun memadam tweet itu kemudian.

Beberapa ahli Parlimen daripada DAP dan PKR yang dihubungi enggan memberi sebarang ulasan.

Seorang ahli Parlimen PKR berkata Anwar akan mengadakan sidang media untuk menjelaskan pendirian pembangkang.

Belanjawan 2021 diluluskan dengan undi suara selepas beberapa pindaan dan pengumuman tambahan dibuat semasa penggulungan oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz.

Katanya, kerajaan setuju untuk melanjutkan moratorium bayaran balik pinjaman bank kepada semua golongan B40 dan peniaga kecil.

Kerajaan juga setuju untuk meluaskan kelayakan mengeluarkan simpanan Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada semua pencarum tabung itu yang terjejas akibat Covid-19.

Belanjawan 2021 akan dibahas di peringkat jawatankuasa, iaitu bagi setiap kementerian, mulai minggu depan. Proses itu sekali lagi akan melibatkan undian anggota Dewan Rakyat.

Menteri Kanan Mohamed Azmin kemudian memerli blok pembangkang di Twitter kerana gagal menolak Belanjawan 2021. 

“Peraturan Mesyuarat membolehkan Belah Bahagi bukannya “berbelah bagi”,” tulisnya. – 26 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen