Kes Indira Ghandi sahkan mahkamah sivil atasi syariah


Kamles Kumar

Peguam dan pergerakan masyarakat sivil mengalu-alukan penghakiman bersejarah itu, menyifatkannya sebagai pengesahan kedudukan kuasa mahkamah di Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Januari, 2018.

PENGHAKIMAN bersejarah kes M Indira Ghandi menetapkan yang undang-undang sivil mengatasi undang-undang syariah, kata peguam dan pergerakan masyarakat sivil hari ini.

Semalam Mahkamah Persekutuan mengeluarkan penghakiman sebulat suara mengenai penukaran agama tiga anak Indira kepada Islam adalah tidak sah dan terbatal. Mahkamah juga memutuskan yang penukaran agama kanak-kanak bawah umur memerlukan persetujuan ibu dan bapa serta perkataan “ibu bapa” yang menjadi pertikaian kes adalah kesilapan tafsiran.

Eric Paulsen daripada Lawyers for Liberty berkata penghakiman itu mengguna pakai dan mempertimbangkan kedua-dua undang-undang sivil dan syariah bagi mengeluarkan undang-undang bersama.

“Penghakiman itu sangat signifikan, kerana ia secara konklusifnya menyatakan penukaran agama tanpa persetujuan satu pihak tidak lagi sah.

“Maka kerana itu, pasangan yang baru menukar agama tidak lagi boleh memintasi undang-undang sivil dan menggunakan sistem syariah untuk mendapatkan hak penjagaan anak mereka secara tidak adil,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Eric juga menambah yang penghakiman itu juga bermakna apa sahaja kes selepas ini yang serumit kes Indra akan dibicarakan di bawah undang-undang sivil, tanpa mengira ia melibatkan orang Islam atau tidak.

“Lebih penting, mahkamah sivil mengesahkan kuasa kehakiman mereka-bermakna, hak semua rakyat Malaysia adalah saksama di bawah undang-undang dan Perlembagaan.

“Dan mahkamah boleh menafsirkan semua keputusan pihak berkuasa awam, semua undang-undang, negeri mahupun persekutuan, malah dalam hal ehwal Islam.”

Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian pula mengatakan penghakiman itu secara jelas mengesahkan yang Malaysia adalah sebuah negara sekular.

“Mahkamah sebenarnya mengisytiharkan yang mahkamah sivil lebih tinggi daripada mahkamah syariah, dan kuasa penghakiman mereka tidak boleh dikekang oleh Parlimen.

“Perlembagaan Persekutuan itu unggul, kuasa mahkamah sivil tidak boleh digugat, dan menyokong pendirian kami yang Malaysia adalah sebuah negara sekular,” katanya yang juga seorang peguam dalam satu kenyataan.

Sementara itu seorang lagi peguam, Fazri Azzat berkata penghakiman itu bukan sahaja memberi kesan kepada Indira, tetapi juga kepada semua kes penukaran agama kanak-kanak bawah umur tanpa kebenaran bersama ibu bapa.

Katanya, penghakiman itu memberikan “kejelasan” terhadap kes penjagaan anak yang lain seperti kes R.Subashini lawan T.Saravanan.

“Sekarang hakim sivil dan syariah perlu memahami keputusan (kes Indira) bagi mengelakkan ‘konflik’ antara kehakiman,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pengerusi Persatuan Hak Asasi Manusia Nasional (Hakam) Ambiga Sreenevasan pula berkata penghakiman semalam bukan hanya memaktubkan Perlembagaan Persekutuan tetapi juga memberi keutamaan kepada kanak-kanak bawah umur yang terlibat dalam penukaran agama.

“Kesan praktikal keputusan itu adalah ia boleh merawat penderitaan tidak perlu ramai kanak-kanak dan pasangan yang keluarga mereka berpecah belah disebabkan tindakan salah seorang pasangan dalam perkahwinan.

“Pasangan tidak lagi boleh menggunakan agama sebagai kaedah menghukum pasangan mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan semalam, terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan Zulkefli Ahmad Makinuddin, Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Richard Malanjum, Zainun Ali, Abu Samah Nordin dan Ramly Ali mengeluarkan penghakiman yang penukaran agama kanak-kanak bawah umur kepada Islam yang dilakukan tanpa persetujuan bersama adalah tidak sah dan terbatal.

Zainun yang membaca ringkasan penghakiman itu berkata penukaran agama memerlukan kebenaran bersama ibu dan bapa kanak-kanak terbabit.

Penghakiman itu seterusnya membatalkan keputusan majoriti 2-1 Mahkamah Rayuan pada 30 Disember 2015 yang mengembalikan sijil penukaran agama kepada tiga anak Indira, yang sudah dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi Ipoh.

Mahkamah Rayuan sebelum itu mengeluarkan penghakiman mengatakan yang mahkamah tinggi tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengesahkan penukaran agama kanak-kanak itu, yang katanya terletak dalam bidang kuasa eksklusif mahkamah Syariah.

Bapa tiga kanak-kanak itu, Muhammad Riduan Abdullah, 47, yang sebelum ini dikenali sebagai K.Pathamanathan menukar agama mereka kepada Islam pada April 2009 tanpa keizinan Indira Ghandi selepas Riduan memeluk Islam.

Ketika itu, kanak-kanak berkenaan berumur 12, 11 tahun serta paling bongsu 11 bulan. – 30 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen