Pengusaha restoran bankuet lega raih semula tempahan jamuan kahwin


Khoo Gek San

Ramai pasangan telah menghubungi untuk meminta butiran jamuan perkahwinan sejak kebanyakan negeri mula memasuki fasa empat pelan pemulihan negara, kata Presiden Persatuan Restoran dan Tukang Masak Koo Soo Malaysia Wong Teu Hoon. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 November 2021.

PENGUSAHA restoran bankuet menarik nafas lega apabila dapat menganjurkan semula majlis jamuan perkahwinan dan perhimpunan perayaan selepas menerima tempahan untuk bulan November dan Disember.

Mereka tidak mempunyai sebarang urus niaga sejak akhir tahun lalu berikutan beberapa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan prosedur operasi standard bagi (SOP) membendung penularan Covid-19.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight, kini dengan pembukaan semula dan pengoperasian perniagaan, keuntungan dan pendapatan kecil yang diperoleh dalam tempoh ini akan membantu meningkatkan simpanan restoran bagi tempoh satu hingga dua tahun akan datang memandangkan wabak itu belum reda sepenuhnya.

Presiden Persatuan Restoran dan Tukang Masak Koo Soo Malaysia Wong Teu Hoon berkata ramai pasangan telah menghubungi untuk meminta butiran jamuan perkahwinan sejak kebanyakan negeri mula memasuki fasa empat pelan pemulihan negara.

Katanya, restorannya menyaksikan peningkatan dalam tempahan jamuan perkahwinan dengan bulan November paling banyak menerima tempahan.

Beliau juga berkata tarikh 11 Disember adalah tarikh yang popular untuk jamuan perkahwinan dengan banyak tempahan untuk dewan bankuet pada hari tersebut.

“Dewan jamuan kami boleh menganjurkan sehingga lima jamuan perkahwinan dalam sehari. Sebelum pandemik, lima dewan bankuet boleh menganjurkan 11 jamuan perkahwinan sehari,” kata Wong.

Jelasnya, di bawah fasa empat, jumlah kehadiran untuk jamuan perkahwinan adalah terhad. Jamuan perkahwinan kini separuh daripada 500 tetamu seperti yang diterima sebelum ini.

Tetamu yang melibatkan rentas negeri juga tidak akan dibenarkan untuk menghadiri jamuan perkahwinan sementara wabak itu masih belum reda, tambah Wong.

“Pengusaha restoran mesti mendapatkan khidmat dua pengawal Rela untuk memeriksa aplikasi MySejahtera tetamu yang tiba, dan memastikan hanya tetamu yang telah lengkap divaksin dibenarkan memasuki restoran.

“Tempoh jamuan perkahwinan juga hanya terhad kepada dua jam semasa pandemik,” katanya.

Terdapat banyak peraturan lain untuk jamuan perkahwinan seperti setiap meja kini dibenarkan enam tempat duduk sahaja di mana jumlahnya lebih kecil daripada maksimum sebelum ini iaitu 10 tempat duduk.

Wong berkata menu dan kos perlu dikawal, dan harga bahan makanan meningkat sedikit untuk industri ini mendapatkan keuntungan kecil.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengusaha Restoran Cina Selangor dan Wilayah Persekutuan Lam Tuck Loy berkata tempahan untuk jamuan perkahwinan di restoran Kuala Lumpur agak suram kerana ramai masih bimbang dengan wabak itu.

Orang ramai juga bimbang dengan denda yang dikenakan bagi sebarang pelanggaran SOP semasa majlis itu, kata Lam.

“Restoran tersebut telah melancarkan iklan secara berturut-turut termasuk jamuan perkahwinan, jamuan perayaan, dan mempromosikan menu jamuan.

“Buat masa ini, jamuan berskala besar tidak sesuai. Sesetengah tetamu warga emas tidak boleh hadir untuk makan secara berkumpulan.

“Jika menu jamuan dikurangkan, pendapatan restoran secara tidak langsung akan lebih rendah, tetapi tenaga kerja tidak boleh dikurangkan, jadi pengusaha restoran mesti merancang perbelanjaan dengan teliti,” kata Lam. – 15 November, 2021.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen