MA63 bukan penentu keputusan PRN Sarawak, kata penganalisis


Desmond Davidson

Penganalisis berkata, GPS pasti akan memainkan fakta mereka berjaya membentangkan rang undang-undang itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 November, 2021.

SALAH satu isu utama dijangka mendominasi perbahasan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang adalah cadangan untuk meminda perlembagaan persekutuan supaya selaras dengan peruntukan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), menurut penganalisis politik.

Rang undang-undang untuk pindaan itu dibentangkan bagi bacaan kali pertamanya di Parlimen pada 3 November walaupun tiada tarikh ditetapkan bagi bacaan kedua dan ketiga.

Pakar politik Asia di Universiti Tasmania James Chin, berkata isu berkaitan MA63 akan banyak dimainkan oleh pihak seperti Parti Bumi Kenyalang (PBK) yang pro-kemerdekaan dan parti yang memperjuangkan pemulihan hak negeri seperti Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi).

Chin berkata, pada tahap yang lebih kecil, ia juga akan dimainkan oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang memerintah dan pembangkang khususnya Pakatan Harapan (PH) untuk mengalahkan satu sama lain.

Beliau berkata, GPS pasti akan memainkan fakta yang mereka berjaya membentangkannya manakala pembangkang akan mengecapi kegagalan GPS untuk memaksa undi.

“Pembangkang akan mengatakan kerana GPS tidak dapat mengumpulkan sokongan yang mencukupi untuk bacaan kedua dan ketiga, maka tidak akan ada undian.”

Ia dirumuskan sebagai kegagalan oleh pembangkang dan GPS bukanlah juara memperjuangkan hak Sarawak, katanya.

PH membentangkan rang undang-undang MA63 yang agak serupa tetapi dipertikaikan ketika mereka berkuasa pada 2019 dan ia gagal mendapatkan sokongan dua pertiga mandatori daripada 222 ahli Parlimen untuk meluluskannya.

Hanya 138 ahli Parlimen menyokong rang undang-undang itu.

Seramai 59 ahli Parlimen, termasuk 18 ahli Parlimen GPS berkecuali daripada menyokong rang undang-undang itu.

Ahli Parlimen daripada GPS mempertikaikan perkataan pindaan dan desakan PH supaya tidak memasukkan perkataan ‘Perjanjian Malaysia 1963’ dalam perlembagaan.

Chin menyamakan pindaan MA63 dengan isu pembangunan tanah hak adat (NCR) oleh kerajaan.

“Ia akan menjadi seperti NCR, isu besar tetapi ia tidak akan menentukan keputusan pilihan raya.” – 14 November, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen