Calon kempen cara lama di Sarawak sebelum peraturan baharu Covid-19 diumumkan


Desmond Davidson

SPR belum mengumumkan tarikh PRN Sarawak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 November, 2021.

CALON pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang dilaporkan meningkatkan rentak jadual kempen mereka dengan “cara lama” sebelum peraturan baharu mengenai cara berkempen dikuatkuasakan.

Salah seorang daripadanya adalah Edward Luwak, pilihan Parti Sarawak Bersatu bagi kerusi luar bandar Bukit Semuja di Serian, kira-kira 66km dari Kuching.

“Perlu dilakukan sekarang dan saya sedang melakukannya,” kata Luwak kepada The Malaysian Insight.

Luwak, yang bertanding kerusi DAP pada pilihan raya lalu berkata, beliau tidak tahu bagaimana peraturan untuk Sarawak.

Beliau berkata, jika mengikut contoh PRN Melaka, maka tidak ada kempen, perhimpunan, lawatan dari rumah ke rumah selepas hari penamaan calon – peraturan yang dilihat oleh sesetengah calon hampir mustahil untuk mendekati pengundi di kawasan luar bandar Sarawak yang mana perhubungan dalam talian tidak praktikal kerana perkhidmatan Internet di kawasan itu hampir tidak wujud.

Luwak menggerakkan kempennya sejak tahun lalu sejurus selepas menyertai PBK.

Aktiviti beliau tergendala seketika apabila perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasa susulan penularan wabak Covid-19.

Beliau kembali mengikuti jejak kempen apabila sekatan ditarik balik.

Luwak keluar daripada DAP selepas pergaduhan besar dengan pengerusi parti negeri itu Chong Chieng Jen.

Beliau berkata, bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 negeri, beliau tidak melakukan ceramah atau perhimpunan besar.

Satu-satunya cara katanya, adalah dengan mengadakan sesi ‘berandau’ (perbincangan) kecil di rumah yang ditetapkan - satu amalan yang boleh diharamkan dalam peraturan kempen baharu.

Pada pilihan raya 2016, Luwak adalah salah seorang daripada lima calon yang bertanding di kerusi itu yang mempunyai 13,365 pengundi.

Calon Barisan Nasional, John Ilus memenanginya dengan majoriti 3,144, turut bertanding calon bebas Frederick Bayoi Manggie, Cobbold Lusoi dari Parti Bansa Dayak Sarawak Baru dan Johnny Bob Aput dari Star.

Luwak menjangkakan satu lagi pertarungan berbilang penjuru pada PRN akan datang dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS), Pakatan Harapan (PH) melalui DAP dan Parti Bumi Kenyalang (PBK) semuanya dijangka meletakkan calon.

“Jangan memandang rendah cabaran calon Bebas,” katanya.

Calon yang dipilih DAP untuk menggantikan Luwak, Brolin Nicholsion, bagaimanapun memberi gambaran beliau tidak memulakan kempen dengan mempersoalkan tingkah laku calon yang berbuat demikian.

Nicholsion berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya masih belum mengumumkan tarikh pilihan raya dan “kita dapat melihat beberapa calon berpotensi GPS sudah melanggar undang-undang dengan melakukan kempen awal”.

Beliau berkata, calon GPS “jelas melanggar” seksyen 2 (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Mengabaikan undang-undang, menurut beliau, sama seperti gagal menjadi contoh kepada rakyat Sarawak. – 13 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen