Negara bakal hadapi krisis kemiskinan Bumiputera terburuk dalam sejarah


DEWAN Perniagaan Melayu Malaysia (Dewan Melayu) berpendapat bahawa Bajet 2022 yang telah dibentangkan di Parlimen pada 29 Oktober lalu haruslah lebih bersasar dan tidak populis sebagaimana pembentangan bajet pada tahun-tahun sebelumnya. 

Ini bagi memastikan peruntukan kewangan sebanyak RM11.4 bilion benar-benar dapat merawat ekonomi Melayu dan Bumiputera yang sedang parah.

Menurut pakar ekonomi Dr Muhammed Khalid, kerajaan telah membelanjakan lebih RM30 billion untuk Bumiputera dalam tiga tahun kewangan terakhir ini, namun masih gagal menunjukkan kemajuan yang membanggakan. 

Lebih buruk lagi apabila hampir tidak ada langsung laporan untuk menunjukkan ke mana dan bagaimana dana tersebut dibelanjakan, serta prestasinya.

Dalam pada itu, menurut Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai, dengan lebih 70% pekerja Melayu menerima gaji kurang RM2,000 sebulan dan lebih 50% memiliki simpanan persaraan KWSP kurang daripada RM1,000, ekonomi orang Melayu dan Bumiputera sememangnya berada dalam keadaan yang tenat dan mesti dirawat segera. 

Beliau beranggapan program-program memperkasa Bumiputera haruslah bersifat jangka panjang di samping lebih mensasarkan kepada pemantapan institusi dan bukannya individu.

Pandangan pakar-pakar ini telah dikongsikan melalui program berkala Bicara Dewan Melayu edisi ke-11 anjuran Dewan Melayu bertajuk “Bajet 2022: Mampukah rawat ekonomi Melayu?” yang telah diadakan secara langsung semalam.

Menyentuh isu Cukai Makmur sebanyak 24%-33% yang bakal dikenakan kepada sektor korporat, kedua-dua panelis berpandangan ianya sebagai keputusan yang agak terburu-buru tanpa melalui proses libat urus yang lebih menyeluruh dan telus. 

Pada Isnin lalu, apabila pasaran saham negara jatuh melebihi 30 mata melibatkan kerugian lebih RM30 billion, banyak pihak menganggapnya sebagai bantahan sektor korporat dan pelabur terhadap cadangan Cukai Makmur.

Barjoyai dalam komentar beliau turut menekankan perlunya instrumen cukai yang lebih perbagai seperti cukai ke atas pendapatan dividen, di samping mengekang aktiviti “tax shifting” apabila syarikat membalas kenaikan cukai korporat dengan menaikkan harga barang, yang pada akhirnya terpaksa ditanggung oleh pengguna.

Barjoyai turut mencadangkan agar agenda merawat ekonomi Bumiputera tidak tertumpu kepada memberi peruntukan secara pukal sahaja tanpa mengenal pasti sasaran kumpulan yang selayaknya dibantu. 

Beliau juga menyambut baik dasar keterangkuman (inclusivity) yang sedang diusahakan kerajaan, dan percaya sekiranya peruntukan yang disediakan sampai kepada sasaran, manfaatnya akan dapat dinikmati akhirnya oleh 70% golongan Bumiputera.

Menjawab persoalan sama ada peruntukan Bumiputera sebanyak RM11.4 bilion itu wajar atau sebaliknya, Muhammed menekankan bahawa dasar keadilan dan kesaksamaan mesti diutamakan. 

Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, pengeluaran wang daripada simpanan KWSP mesti dihentikan sebaliknya ditanggung oleh kerajaan sepenuhnya. Muhammed menambah, 50% orang Melayu akan jatuh miskin sebaik sahaja mereka bersara lantaran tabungan KWSP yang saban tahun mengecil. 

Menurut beliau lagi, walaupun telah banyak kemajuan ekonomi Bumiputera telah dicapai, masih banyak ruang untuk mengubah lanskap ekonomi negara, khususnya dalam membantu usahawan Bumiputera. 

Pada hari ini, hanya 26,000 daripada hampir satu juta usahawan PKS Bumiputera layak menerima bantuan pinjaman SME, dan hanya 38,000 sahaja yang menerima dana pendigitalan perniagaan.

Dewan Melayu dalam beberapa kenyataan pra-bajetnya telah membuat lebih 50 syor kepada kerajaan, yang mencakupi aspek fasa pemulihan pandemik seperti bantuan sara hidup, moratorium tanpa syarat dan menaikkan nilai ambang kebangkrapan. 

Dewan Melayu juga telah mengemukakan syor-syor melibatkan cukai dan pendekatan fiskal, pemantapan perniagaan Bumiputera, polisi gaji dan upah seperti kenaikan gaji minima serta pengenalan “living wage”; di samping menyokong perlaksanaan halatuju ekonomi Bumiputera berjangka panjang seperti Tindakan Pembangunan Bumiputera (TPB2030), “debt monetization”, penyediaan Dana Pusingan Bumiputera, dan banyak lagi.

Hakikatnya, walau sebesar manapun peruntukan yang diberikan kepada untuk membantu Bumiputera, selagi mana tidak telus dan bersasar, ianya akan terus gagal, dan lambat laun negara akan terpaksa berdepan krisis ketidaksamaan yang akan membawa kepada ketidaktabilan politik yang berpanjangan.

* Abdul Halim Husin, presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen