Singapura ditekan ringankan hukuman mati rakyat Malaysia


Hailey Chung Wee Kye

Harm Reduction International (HRI), Rangkaian Antarabangsa Pengguna Dadah (INPUD) dan Konsortium Dasar Dadah Antarabangsa (IDPC) bersama 27 pertubuhan dan rangkaian lain menggesa Singapura meringankan hukuman akyat Malaysia Nagaenthran K Dharmalingam kepada penjara seumur hidup. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 4 November, 2021.

KUMPULAN pertubuhan antarabangsa hari ini menyeru kerajaan Singapura membatalkan hukuman mati terhadap rakyat Malaysia Nagaenthran K Dharmalingam minggu depan.

Harm Reduction International (HRI), Rangkaian Antarabangsa Pengguna Dadah (INPUD) dan Konsortium Dasar Dadah Antarabangsa (IDPC) bersama 27 pertubuhan dan rangkaian lain menggesa republik itu meringankan hukuman kepada penjara seumur hidup.

Mereka berkata ia perlu dilihat sebagai langkah pertama memansuhkan hukuman mati dan ke arah dasar dadah yang mengutamakan kesihatan dan hak asasi manusia.

Kumpulan itu turut menggesa campur tangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kesatuan Eropah (EU) dan semua pihak berkepentingan agar ambil tindakan segera.

“Seperti kebanyakan defendan dadah, Nagaenthran jelas sekali berada di hujung rantaian bekalan dadah, dan ditipu, jika bukan dipaksa, untuk membawa dadah.

“Dia tidak berhasrat untuk kaut keuntungan besar sebagai balasan kepada aktiviti yang sangat berisiko tinggi iaitu membawa dadah merentasi sempadan antarabangsa,” kata mereka dalam satu kenyataan.

Hukuman mati bagi kesalahan dadah jelas melanggar hak asasi manusia antarabangsa dan piawaian kawalan dadah, seperti yang ditegaskan oleh Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB, Majlis Hak Asasi Manusia, Pejabat PBB Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) dan Lembaga Kawalan Narkotik Antarabangsa (INCB).

“Bertentangan dengan dakwaan Singapura, tidak ada bukti hukuman mati sebagai pencegahan yang unik terhadap penggunaan atau pengedaran dadah.

“Sebaliknya, penggunaan hukuman mati dan dasar dadah yang menghukum berfungsi hanya memperdalam stigma dan diskriminasi terhadap pengguna dadah selain melanjutkan lagi kitaran kemiskinan.

“Selain itu, hukuman mati terhadap orang kurang upaya mental atau intelektual adalah dilarang oleh undang-undang antarabangsa dan melanggar Konvensyen PBB Mengenai Hak Orang Kurang Upaya, yang diratifikasi Singapura,” kata mereka.

Nagaenthran dikatakan mempunyai masalah kesihatan mental dan kecacatan intelek, dilaporkan didesak untuk mengimport dadah sebagai pertukaran RM500 yang diperlukan untuk membayar pembedahan jantung bapanya.

“Beliau didiagnosis dengan gangguan hiperaktif kekurangan perhatian ringan (ADHD), kecerdasan kecerdasan (IQ) 69 memenuhi piawaian antarabangsa untuk kategori hilang upaya intelek, dan kemahiran berfungsinya terjejas.

“Namun begitu, hakim membuat kesimpulan kemerosotannya itu tidak cukup untuk menjatuhkan semula hukuman, dan pada 2017 mengekalkan hukuman mati,” kata mereka.

Penyelidikan oleh HRI menunjukkan Singapura adalah salah satu daripada beberapa negara yang kerap menjatuhkan hukuman mati kepada individu kerana kesalahan dadah, memandangkan lebih banyak negara beralih daripada menggunakan hukuman mati sebagai alat untuk kawal dadah.

Nagaenthran, 32, ditahan pada 2009 dan dijatuhi hukuman mati pada 2011 di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah kerana mengimport 42.7g diamorphine secara haram.

Pada November 2011 Mahkamah Rayuan Singapura mengekalkan hukuman tersebut, dan permohonan hukuman semula kemudiannya ditolak.

Pada 26 Oktober, keluarga Nagaenthran dari Ipoh, Perak dimaklumkan Perkhidmatan Penjara Singapura yang dia akan dihukum gantung pada 10 November.

Keluarganya dinasihatkan supaya mula membuat perjalanan dan urusan pengebumian.

“Adik beradik dan ibu Nagaenthran menghadapi cabaran kewangan dan logistik untuk ke Singapura, terutamanya ketika sekatan Covid-19.

“Sekiranya mereka negatif Covid-19, mereka akan diberikan pengecualian kepada notis tinggal di rumah (SHN) untuk pergi dan balik dari penjara, walaupun tidak jelas sama ada mereka akan dapat membuat sebarang hubungan fizikal dengan Nagaenthran.

“Sekiranya ujian itu positif, mereka tidak dibenarkan melawat Nagaenthran dan mungkin dikuarantin di kemudahan perubatan,” kata mereka.

Menteri Luar Saifuddin Abdullah semalam berkata proses rayuan melalui mahkamah dibuat melalui permohonan Pengampunan Presiden (Presidential Clemency) tetapi ditolak pada 1 Jun tahun lalu.

“Saya telah menerima surat dari organisasi Anti-Death Penalty Asia Network (ADPAN) melalui Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah, yang memaklumkan pelaksanaan hukuman tersebut serta memohon supaya Kementerian Luar membangkitkan kes ini dengan kerajaan Singapura.

“Sehubungan itu, saya telah mengutus surat kepada menteri luar Singapura berkenaan kes ini.

“Kementerian Luar melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura akan terus memantau perkembangan kes ini dan akan menghulur bantuan konsular yang sewajarnya kepada Nagaenthran serta keluarga beliau,” katanya. – 4 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen