Kenyataan Dr Siti Hasmah diambil untuk bantu siasatan, kata polis


Polis hari ini mengesahkan Dr Siti Hasmah telah memberi keterangan untuk membantu siasatan berhubung perhimpunan Himpunan Ungu tahun lalu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 28 Januari, 2018.

POLIS hari ini mengesahkan Dr Siti Hasmah telah memberi keterangan untuk membantu siasatan berhubung perhimpunan Himpunan Ungu tahun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata polis tidak menyiasat Dr Siti Hasmah sebaliknya hanya mengambil keterangan beliau, yang mana beliau sendiri setuju.

“Polis ingin menjelaskan bahawa Dr Siti Hasmah dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu melengkapkan siasatan berhubung satu perhimpunan yang dianjurkan tanpa notis pada September tahun lalu.

“Beliau tidak sesekali disoal siasat tetapi diambil keterangan secara profesional dan menghormati kedudukan serta status beliau di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam masa sama, Najmuddin turut menggesa pihak lain supaya tidak mencampuri urusan siasatan polis.

“Polis memandang serius kenyataan-kenyataan berbaur hasutan yang dikeluarkan oleh pihak-pihak yang cuba menangguk di air keruh,” katanya.

Kenyataan Najmuddin ini ahli politik dan pemimpin masyarakat sivil menuduh Putrajaya melakukan penganiayaan terpilih berhubung tindakan polis menyoal Dr Siti Hasmah Mohd Ali, empat bulan selepas majlis protes yang disertainya.

Pada 26 Januari lalu, polis telah mengambil keterangan daripada Dr Siti Hasmah berhubung perhimpunan itu.

Dalam kenyataan berasingan, Timbalan Menteri Dalam Negeri Nur Jazlan Mohamed berkata polis telah menyoal kehadiran Dr Siti Hasmah dalam perhimpunan itu, dan bukannya untuk memperlekehkan beliau.

“Polis hanya menyiasat kehadiran beliau dalam perhimpunan yang dianjurkan tanpa kelulusan polis, bukan untuk memperlekeh atau menakutkan beliau,” katanya seperti dipetik oleh The Star di Johor bahru.

Pada perarakan yang diberi nama Wanita Bantah Politik Toksik itu atau dikenali sebagai Himpunan Ungu itu, Dr Siti Hasmah, memberikan ucapan ringkas dari atas sebuah trak pikap kepada ketika lebih 1,000 wanita yang berpakaian serba ungu yang berarak dari Maju Junction ke Kompleks Pertama.

Dalam ucapannya pada perhimpunan itu, Dr Siti Hasmah antara lain mengingatkan bagaimana wanita selalu jadi mangsa dalam konflik serta mangsa keganasan termasuk gangguan seksual dan meminta wanita membantah politik yang kotor.

“Kita wanita membantah sekeras-kerasnya politik toksik. Sebelum toksik itu masuk dalam darah dan badan kita… kita mesti cegah dan hentikan,” katanya. – 28 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen