Kerana Himpunan Ungu, Siti Hasmah disoal siasat polis


Dr Siti Hasmah menyertai perarakan Purple Walk September lepas untuk membantah situasi semasa politik semasa yang menjejaskan kehidupan wanita Malaysia. Beliau sedang disoal siasat polis berkaitan perkara itu hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Januari, 2018.

DR Siti Hasmah Mohd Ali disoal siasat oleh polis pagi ini berhubung ucapannya pada rapat umum menuntut politik bersih di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur pada 10 September tahun lalu.

Pada perarakan yang diberi nama Wanita Bantah Politik Toksik itu, Dr Siti Hasmah, 91, memberikan ucapan ringkas dari atas sebuah trak pikap kepada ketika lebih 1,000 wanita yang berpakaian serba ungu yang berarak dari Maju Junction ke Kompleks Pertama.

Anak beliau, Marina Mahathir dalam satu mesej melalui Twitter memberitahu ibunya sedang disoal siasat berhubung rapat umum anjuran beberapa individu antaranya Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah dan bekas diplomat yang juga anggota kumpulan G25, Noor Farida Ariffin.

Dalam mesejnya itu, Marina memaklumkan beliau sedang dalam perjalanan untuk memberikan sokongan moral kepada ibunya.

Dalam ucapannya pada perhimpunan itu, Dr Siti Hasmah antara lain mengingatkan bagaimana wanita selalu jadi mangsa dalam konflik serta mangsa keganasan termasuk gangguan seksual dan meminta wanita membantah politik yang kotor.

“Kita wanita membantah sekeras-kerasnya politik toksik. Sebelum toksik itu masuk dalam darah dan badan kita… kita mesti cegah dan hentikan,” katanya.

Antara yang menyertai perhimpunan pada petang Sabtu empat bulan lalu itu termasuk peguam Ambiga Sreenevasan, Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ahli Parlimen Pantai Nurul Izzah Anwar. – 26 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen