Siti Hasmah ketuai protes wanita tuntut politik bersih


Muzliza Mustafa

Siti Hasmah Mohamad Ali (tengah) mengetuai perarakan wanita dari pusat membeli belah Maju Junction ke Kompleks Pertama dalam acara Purple Walk, hari ini.

WANITA dari pelbagai latar belakang mewarnai bandaraya ini dengan warna ungu bagi menunjukkan penyatuan mereka dalam menentang politik toksik menerusi perarakan yang diberi nama Wanita Bantah Politik Toksik.

Kira-kira 1,000 orang wanita berarak dari pusat membeli belah Maju Junction ke arah Kompleks Pertama pada jam 5.45 petang sebagai respons dan penentangan wanita Malaysia terhadap perkembangan politik negara yang kian toksik dan diselubungi keganasan. 

Perarakan itu menyaksikan penyertaan isteri bekas perdana menteri Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, anaknya Marina Mahathir, pemimpin G25 Noor Farida, tokoh masyarakat Ambiga Sreenevasan, Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail dan ahli Parlimen Pantai Nurul Izzah Anwar.

Program itu dianjurkan beberapa individu termasuk pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah dan Noor Farida.

Maria berkata program yang diadakan hari ini adalah bagi menunjukkan wanita bersatu menentang politik semasa dalam negara kini.

“Ia adalah mengenai janji yang tidak ditepati…bukan sahaja politik toksik tetapi juga isu seperti rogol keganasan terhadap wanita, kami berjuang untuk pindaan undang-undang sejak 30 tahun lalu tapi sehingga kini tiada yang mendengar,” kata Marina.

Maria turut menggesa wanita untuk mendapatkan lebih ruang di Parlimen untuk mengejar agenda yang lebih dekat dengan masyarakat.

“Kita hanya mempunyai 20 ahli Parlimen wanita iaitu hanya 10 peratus yang mana negara jiran seperti Indonesia mempunyai 25 peratus,” katanya.

Ditanya apa perkaitannya dengan politik toksik, Maria berkata, tiada sebarang reaksi daripada wakil yang dipilih atau kerajaan pun sudah menjadikan ia satu tindakan politik.

“Hakikat bahawa tadbir urus tidak memberi sebarang maklum balas kepada isu yang penting seperti perkahwinan kanak-kanak berumur 12 tahun dan ke bawah dan isu sebeginilah yang perlu diberi penekanan oleh pemimpin.

“Jika kami undi kamu, kamu perlu mendengar suara rakyat. Jika tidak, kamu mengamalkan politik yang tidak boleh kami terima dan ia adalah politik kotor.

“Dan ia juga kotor kerana peningkatan dalam menggunakan kekerasan, undang-undang yang menindas untuk menidakkan suara rakyat,” kata Maria.

Pada pilihan raya akan datang yang masih belum diumumkan tarikhnya, Maria berkata wanita perlu menyingkirkan calon yang mengamalkan politik kotor.

Sementara itu, Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok yang turut hadir pada perhimpunan itu berkata, dia juga merupakan mangsa kepada politik kotor di negara ini.

“Berdirinya saya di sini kerana saya juga merupakan mangsa kepada politik kotor.

“Saya pernah ditahan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) kerana didakwa melarang azan di satu masjid, pemimpin pernah dilemparkan kerusi ketika memberikan ceramah.

“Kita tidak mahukan keganasan sebegini dalam politik tanah air,” katanya ketika berucap pada perhimpunan itu. – 10 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen